KOTA BHARU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan punca hubungan kerjasama antara Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) ibarat ‘durian mentah’ disebabkan sikap tidak sabar untuk menang yang ditunjukkan pihak tertentu.
Penyandang kerusi Parlimen Marang itu semasa berucap pada program Himpunan Penyatuan Ummah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi turut memaklumkan beliau ada menasihati pihak berkenaan agar tidak terburu-buru mengejar kemenangan.
“Ada orang kita tu nak menang deghah (cepat). Kita ingat Muafakat Nasional (MN) boleh menang cepat kerana UMNO ni banyak cawangan dia dan duit dia banyak. Ingatkan kita boleh tumpang sama untuk menang.
“Saya kata jangan cepat sangat. Macam buah durianlah. Putik lagi dan jangan dikait takut jatuh atas kepala. Saya kata tunggu masak tetapi dia marah. Saya dengar kenyataan dia. “Jaga dia tu. Kami ni durian, Pas mentimun,” katanya.
Utusan Malaysia pada 16 Oktober lalu melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kecewa dengan tindakan Abdul Hadi selaku Presiden Pas melabelkan kerjasama kedua-dua parti berkenaan sebagai durian mentah.
Menurut Ahmad Zahid, adalah tidak wajar untuk melabelkan sesuatu kerjasama, sebuah pertubuhan atau parti politik sama dengan mana-mana haiwan, tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan.
Abdul Hadi memberitahu, dalam situasi tersebut Pas tetap mengambil sikap bersabar dan beralah di samping meneruskan usaha-usaha ke arah merealisasikan agenda penyatuan ummah.
“Tak apa. Biarlah kamu durian dan kami mentimun. Kita sabar dan kita lok (biarkan) durian itu masak, luruh dan jatuh. Lok jadi tempoyak. Selepas jadi tempoyak, selam dalam budu. Selepas itu ambil mentimun dan tenyeh di atasnya. Akan tiba masanya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar rakyat keluar mengundi beramai-ramai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti kerana ia adalah tanggungjawab besar dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Beliau turut menyeru agar rakyat memilih kerajaan ‘amar makruf, nahi mungkar’ dan jangan memilih kerajaan yang hanya menjanjikan wang ringgit serta menabur pelbagai janji.
“Islam menganjurkan sesebuah negara dibina dengan ilmu serta sifat yang baik dan bukan dengan duit atau kekayaan semata-mata. Kerajaan dipilih perlu adil kepada semua.
“Ramai rakyat tidak faham kita menghadapi kesulitan dan memerlukan perpaduan ummah demi menegakkan kedaulatan negara dan menjaga kepentingan masyarakat majmuk,” katanya. – UTUSAN