MPKL arah pembinaan bangunan reban ayam Kampung Tanjung Sepat dihentikan  - Utusan Malaysia

MPKL arah pembinaan bangunan reban ayam Kampung Tanjung Sepat dihentikan 

PENDUDUK Kampung Tanjung Sepat, Sepang membuat bantahan terhadap projek pembinaan ladang ternakan ayam. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (JKOSC) mengarahkan pembinaan bangunan reban ayam jenis tertutup di atas Lot 2715 dan Lot 2716, Mukim Batu, Kuala Langat dihentikan.

Dalam kenyataannya, MPKL memaklumkan satu sesi perbincangan diadakan melibatkan penduduk kampung dengan pihak pemaju berkenaan dalam masa terdekat.

“MPKL mengeluarkan notis pemberitahuan dan notis kesalahan kepada pemaju projek di Lot 2715 dan Lot 2716, Mukim Batu, Kuala Langat pada 18 Oktober lalu kerana menjalankan kerja tanah tanpa kelulusan dan kebenaran MPKL.

“Pemaju tersebut juga diarahkan untuk memberhentikan serta-merta kerja tanah yang dilakukan bagi projek pembangunan bangunan reban ayam jenis tertutup serta membaik pulih kerosakan Jalan Jati (Jalan JKR) yang disebabkan oleh kerja tanah tersebut,” katanya.

Jelasnya, pemaju dilihat akur dengan arahan memberhentikan kerja tersebut dan tapak projek berkenaan dipalang menggunakan tali oleh MPKL.

Menurut MPKL, HN Metropolis Planners selaku perunding projek mengemukakan permohonan bagi cadangan pembinaan bangunan reban ayam jenis bertutup, rumah pekerja dan lain-lain kemudahan sokongan di atas lot berkenaan yang akan dimajukan oleh Mega Broiler Resources Sdn. Bhd.

Katanya, permohonan tersebut diluluskan dengan syarat mematuhi keperluan teknikal dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (JKOSC) bil. 9/2022 yang bertarikh 10 Mei lalu.

“Walau bagaimanapun, kelulusan penuh kebenaran merancang bagi pembangunan ini masih belum dikeluarkan oleh MPKL.

“Bantahan dilakukan penduduk setempat yang mendakwa kerja pembinaan bangunan reban ayam jenis tertutup itu merosakkan struktur Jalan Jati oleh kenderaan yang membawa muatan berat bagi tujuan tambakan tanah di tapak tersebut.

“Penduduk turut khuatir projek pembinaan bangunan reban ayam tertutup ini akan mengundang pencemaran bau serta lalat ke kawasan kampung,” jelasnya.

MPKL turut memaklumkan pihaknya tidak lagi meluluskan permohonan reban ayam tertutup untuk tujuan komersial di kawasan zon pertanian bermula 24 Ogos lalu selaras dengan Rancangan Tempatan Kuala Langat (Pengubahan 2) 2030 yang telah diwartakan dimana penternakan ayam hanya dibenarkan di kawasan Agroternak Batu (BPK 7.4 : Batu Laut) dan kawasan yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri sahaja.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan lebih 3,000 penduduk Kampung Tanjung Sepat di sini merayu pihak berwajib campur tangan dan membatalkan projek pembinaan ladang ternakan ayam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN