IPOH: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen akan mengadakan sidang akhbar tergempar dipercayai berkaitan spekulasi keluar daripada parti, masih setia dengan parti.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu dinyatakan sendiri oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu dalam kumpulan WhatsApp semalam.
Menurutnya, berikutan itu beliau tidak pasti mengenai spekulasi Mohd. Rafiq mahu meninggalkan parti.
“Saya tak dapat nak buat spekulasi mengenai perkara itu. Malam semalam saya tengok dalam WhatsApp group beliau menjelaskan taat dan setia kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu.
“Jadi spekulasi mengatakan beliau nak umum keluar parti itu, saya tak dapat nak pastikan.
“Saya harap beliau sebagai seorang sahabat, kekal istiqamah dalam apa juga keadaan untuk terus bersama sama dengan Bersatu dan PN yan akan ambil bahagian dalam PRU15,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pecah tanah pembinaan Pusat Belia Perak di Tambun di sini hari ini.
Semalam, Mohd. Rafiq dijangka mengadakan sidang akhbar hari ini dipercayai mempunyai kaitan dengan spekulasi beliau mahu keluar daripada parti Bersatu.
Tindakan itu dipercayai berpunca daripada keputusan Perikatan Nasional (PN) yang memutuskan kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin akan ditandingi calon Pas pada PRU15.
Ditanya mengenai ruang untuk perbincangan mengenai pengagihan kerusi dalam PN, Ahmad Faizal berkata, agihan kerusi sudah dimuktamadkan.
“Apa jua keputusan berkenaan calon atau apa-apa perubahan hendaklah dibuat di peringkat tertinggi iaitu presiden-presiden parti,” katanya. – UTUSAN