ARAU: MCA Bahagian Arau sebulat suara menyokong Datuk Seri Shahidan Kassim kekal sebagai calon di Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Chuah Tian Hee berkata, Parlimen Arau berdepan risiko tewas dan hilang sokongan khususnya pengundi Cina jika kerusi yang sudah cukup sinonim dengan Shahidan itu ditampilkan calon payung terjun.
Katanya, lebih 5,000 pengundi Cina di kawasan berkenaan menyukai Shahidan dan berharap beliau kekal bertanding di situ.
“Selain daripada Shahidan susah nak menang, tak nampak calon lain (Arau) bekerja di Arau. Kalau ditampilkan calon payung terjun lagi susah nak menang.
“Jentera sudah lama bersama dan membantu beliau di Arau. Nak pastikan Parlimen Arau menang, mesti kekalkan beliau bertanding di Parlimen Arau,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perjumpaan bersama masyarakat Cina di Pauh, di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengemukakan sekurang-kurangnya lima calon bagi setiap kerusi Parlimen dan DUN untuk menjalani saringan sebelum dipilih sebagai calon PRU15 di negeri ini.
Sebagai rekod, Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986,1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.
Sebelum ini, media melaporkan, Perikatan Nasional (PN) Perlis yakin mempunyai peluang lebih cerah menang di negeri ini termasuk di Parlimen Arau sekiranya Shahidan tidak disenaraikan sebagai calon. – UTUSAN