Masih ingat tentang BSH dan e-Wallet RM30? - Asyraf Wajdi

PRU15: Masih ingat tentang BSH dan e-Wallet RM30? – Asyraf Wajdi

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat perlu menilai semula segala tindakan dan pendekatan yang dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) ketika gabungan itu menerajui tampuk pemerintahan negara selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, kata Datuk Dr, Asyraf Wajdi Dasuki.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu dalam klip video di laman Facebooknya berkongsi janji-janji politik dan tindakan yang diambil PH yang dilihat merugikan rakyat selain tidak ditepati termasuk janji hapuskan tol dan bantuan tunai kepada rakyat.

“Ingat, zaman PH mereka kata BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) itu rasuah, selepas rakyat bising, mereka perkenalkan ‘basah’ BSH (Bantuan Sara Hidup), tetapi jumlahnya lagi kecil.

“Zaman BN (Barisan Nasional) tujuh juta penerima, zaman PH tiga juta penerima, itu pun bagi bujang mereka yang 40 tahun ke atas sahaja yang digelar bujang mendapat RM100. Tapi zaman BN, BR1M diberi kepada umur 21 tahun berjumlah RM450, jangan lupa e-wallet RM30,” katanya.

BR1M diperkenalkan pada zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 dengan pengagihan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari sehingga Mac 2012 dalam bentuk baucer.

Pada mulanya ia hanya bantuan RM500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000. Setiap tahun selepas itu, BR1M sentiasa diperbaiki hinggalah pada Bajet 2016, nilai bantuan ditambah menjadi RM1,000.

Isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 diberikan RM800. Individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas berpendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000 diberi RM400 dan semua penerima dalam senarai e-Kasih berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 juga diberi RM1,050.

Bagaimanapun, pada 25 Ogos 2018, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat ketika era pentadbiran PH.

Justeru itu, Asyraf menyeru agar rakyat membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan memilih BN demi kestabilan dan kemakmuran serta menilai segala bukti-bukti ketika era pentadbiran BN.

“Walaupun BN bukanlah sempurna, tetapi kerajaan BN punya rekod pencapaian lampau terbaik yang mampu menawarkan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat. 

“Malah BN tidak pernah bergantung kepada pendekatan hasutan, fitnah mahupun membenihkan kebencian dikalangan rakyat, kerana BN punya kekuatan dan pengalaman lebih 60 tahun membina dan mencipta kegemilangan untuk rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN