GEORGE TOWN: Masalah banjir kilat di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) perlu diatasi segera bagi mengelakkan imej Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan pelancong asing dan tempatan tercemar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, beliau kecewa dengan masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan LTAPP setiap kali hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
“Saya telah berhubung dengan pengurusan LTAPP, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan dan meminta mereka mengatasi masalah berkenaan dengan segera.
”Kesemua agensi terlibat perlu mengadakan sesi meja bulat bagi mencari langkah jangka masa panjang untuk memastikan masalah banjir kilat tidak berlaku di LTAPP,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, setiap kali hujan lebat masalah banjir kilat di kawasan LTAPP sering berlaku sehingga mencetuskan ketidakselesaan dalam kalangan pelancong dan pengguna LTAPP.
Dalam pada itu, Soon Hin berkata, bangunan parkir bertingkat di kawasan LTAPP masih belum dibuka kepada umum ekoran bangunan itu belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
“Saya dimaklumkan terdapat masalah teknikal yang memerlukan penyelesaian segera sebelum bangunan parkir ini memperoleh CCC. Saya juga difahamkan bangunan parkir bertingkat ini akan dibuka menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Soon Hin berkata, kerajaan negeri akan menandatangani perjanjian bersama dengan Michelin Guide dalam masa terdekat untuk membangunkan industri gastronomi Pulau Pinang. – UTUSAN