PETALING JAYA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) semalam melancarkan lima produk inovasi bagi memanfaatkan pertanian dan industri makanan.
Lima produk yang dilancarkan adalah teknologi Floc Test untuk pengesanan penyakit padi, teknologi nano formulasi untuk penyakit padi dan bar pembebasan tenaga berkala atau slow-release energy bar.
Selain itu, teknologi baharu itu turut membabitkan produk gula-gula bertenaga tinggi atau high-energy Candy dan minuman pemulihan sukan atau recovery sports drink.
Menurut kenyataannya, negara seluruh dunia termasuk Malaysia berhadapan dengan krisis pengeluaran makanan yang terjejas akibat daripada pemulihan Covid-19, konflik Rusia-Ukraine dan perubahan cuaca.
Justeru, impaknya adalah sekuriti makanan dalam negara semakin terancam dan hal ini menjejaskan aktiviti serta rantaian bekalan makanan bagi industri pertanian dan makanan.
“(Oleh itu), MARDI sentiasa menerapkan pendekatan-pendekatan baharu dalam penyelidikan bagi menghasilkan inovasi dan teknologi untuk sektor pertanian dan industri makanan.
“Fokus penyelidikan yang dijalankan adalah untuk menangani isu-isu berkaitan bagi mengurangkan kebergantungan import dan meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam negara bagi menjamin sekuriti agromakanan negara.
Terdahulu, pelancaran tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah seiring dengan perasmian Hari Inovasi MARDI 2022 bertemakan ‘R&D Memperkasa Sekuriti Makanan’.- UTUSAN