KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menawarkan formula baharu untuk pemain industri bagi menyelesaikan masalah berkaitan tumbesaran dan kesihatan ayam sehingga menyebabkan bekalan bahan makanan itu terjejas.
Timbalan Ketua Pengarah MARDI (Penyelidikan), Dr. Mohamad Kamal Abdul Kadir berkata, institut tersebut giat menjalankan penyelidikan semenjak 1970-an dengan menggunakan pelbagai sumber tanaman dan bahan sampingan pertanian bagi mengurangkan kebergantungan ke atas bahan import seperti jagung serta mil kacang soya.
Menurut beliau, syarikat-syarikat pembuatan dedak ayam atau makanan ternakan sudah mempunyai formula tersendiri menyebabkan mereka sukar untuk beradaptasi atau ‘tidak berminat’ dengan teknologi ditawarkan MARDI.
“Banyak penyelidikan dan penilaian MARDI sudah lakukan, kita sebenarnya bukan tidak mahu komersialkan tetapi kami memerlukan syarikat datang ambil teknologi kita atau bekerjasama untuk formulasikan bahan makanan ayam yang sesuai sebab MARDI tidak akan menghasilkan dan menjual.
“Jadi syarikat-syarikat itu akan komersialkan sebenarnya. Cumanya, syarikat yang ada di Malaysia ini, mereka sudah selesa dengan peralatan atau bahan sedia ada seperti penggunaan jagung serta soya ni.
“Mereka sudah ada formulasi tersendiri, jadi sukar untuk mereka ambil. Cumanya sekarang MARDI tawar kepada syarikat-syarikat baharu yang ingin memproses makanan ayam menggunakan teknologi kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mohamad Kamal menjelaskan antara teknologi makanan ayam MARDI dan juga makanan ayam pedaging adalah PKfeed Plus yang sebelum ini dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee semasa Majlis Perasmian Hari Inovasi MARDI 2021.
PKfeed menggunakan hampas isirung sawit (PKE) dan ditambah enzim, sekali gus mampu mengurangkan penggunaan soya sebagai sumber protein dan formulasi itu juga mengandungi prabiotik yang dapat meningkatkan kesihatan ayam tanpa perlu menggunakan antibiotik atau bahan penggalak pertumbuhan lain.
Kami memang mahu formula kami dipromosikan supaya syarikat-syarikat terlibat dapat datang serta tengok sendiri.
“Sekiranya bimbang berkenaan kesesuaian atau mereka tidak berani. Kita boleh buat penilaian terhadap formulasi makanan ternakan ini, MARDI ada ayamnya sendiri jadi boleh digunakan untuk tujuan tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, akhbar melaporkan, syarikat gergasi pengeluar makanan ayam negara ini didakwa membekalkan dedak tidak berkualiti kepada penternak kontrak yang kandungannya dipercayai boleh menjejaskan kesihatan.
Kandungan dedak itu bertujuan membantutkan tumbesaran ternakan untuk menjimatkan kos pengeluaran tetapi boleh memberi kesan negatif kepada manusia seperti kanser.
Mengulas berkenaan dakwaan tersebut,Timbalan Pengarah Program Makanan dan Nutrisi, Pusat penyelidikan Sains Ternakan, Dr Noraini Samad berkata, pengeluaran ayam oleh kilang-kilang makanan tertakluk kepada Akta Makanan Haiwan 2009.
Jelasnya, dakwaan bahawa dedak ayam tidak dikawal sehinggakan pengusaha memasukkan apa sahaja bahan dan mengundang penyakit, tidak tepat. Kecuali pengusaha tidak berdaftar dengan Lembaga Makanan Haiwan.
“Mungkin itu disebabkan antibiotik, di peringkat ladang memang ada banyak laporan mengatakan ada tambahan antibiotik tetapi di Malaysia kita sudah membuat larangan terhadap beberapa antibiotik kerana ia juga digunakan ke dalam manusia.
“Sekarang ada 10 antibiotik yang dilarang untuk digunakan di dalam negara dan senarai itu akan bertambah. Sekiranya ada yang menggunakan, maksudnya penternak itu menggunakan ia secara ‘haram’, ia perlu ada penerangan daripada doktor veterinar sebelum ia diberikan kepada haiwan ternakan,” katanya.
Tambahnya, untuk mengubah pemakanan ayam pedaging, industri perlu berani membuat perubahan agar bekalan ayam dapat disalurkan kepada pasaran tanpa sebarang masalah seperti dihadapi ketika ini.
“Jagung dan soya adalah penanda aras bahan paling terhadam, jadi sekiranya kita nak perkenalkan bahan-bahan tempatan sekurang-kurangnya kehadaman bahan tempatan itu iaitu protien dan tenaga setara atau hampir sama dengan dua bahan tersebut.
“Sekiranya kita nak perkenalkan bahan tempatan, kita kena ubah persepsi dan membuat anjakan paradigma daripada ayam itu sepatutnya 35 hari dua kilogram tetapi apabila menggunakan bahan tempatan untuk jangka masa sama tetapi beratnya tidak sampai dua kilogram.
“Jika pihak industri sanggup menukar dan menerima kesan berat menurun itu, kita akan dapat capai tahap yang baik dalam sekuriti makanan, bahan makanan kita ada di dalam Malaysia, kalau pintu import eksport untuk jagung serta soya tutup kita masih ada bahan di dalam,” jelasnya. –UTUSAN