PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini (Sabtu) sebagai hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia turut meliputi pilihan raya serentak bagi mengisi kekosongan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak serta DUN Bugaya, Sabah.
Sementara itu, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November ini (Sabtu).
Bagi pengundian awal pula, tarikh 15 November dipilih dan tempoh berkempen bagi PRU15 adalah 14 hari.
Sebelum ini, tempoh berkempen pada PRU14 adalah 11 hari manakalah PRU13 pula adalah 15 hari.
Ketika mengumumkan tarikh tersebut di Pejabat SPR di sini hari ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menyatakan seramai 21,173,638 juta pengundi layak mengundi berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan pada pilihan raya umum kali ini, melibatkan kali pertama undi 18 tahun dan pengundi baharu automatik. – UTUSAN