SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar menghormati perbezaan agama bagi memastikan keharmonian bersama berbilang bangsa dan agama.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd.Yusof berkata, orang ramai hendaklah patuh kepada titah baginda berkaitan menghormati perbezaan agama dan bangsa yang tidak boleh dijadikan alasan kepada kezaliman atau permusuhan terhadap penganut lain.
“Sikap hormat menghormati terhadap agama lain dan kehidupan berbilang bangsa bagi keharmonian hendaklah menjadi keutamaan kepada kita agar kedamaian sentiasa dikecapi bersama.
“Keharmonian kita kekalkan, biarpun kita berbeza agama, keturunan, kebudayaan, bahasa dan latar belakang. Kita perlulah sentiasa memelihara keharmonian dan perpaduan agar tidak bermusuh antara satu sama lain.
“Al-Quran juga ada menyebutkan dalam surah al-Kafirun, ayat 6 yang menyatakan ‘untukmu agamamu dan untukku agamaku. Perbezaan pegangan agama kepada kita, ia adalah merupakan suatu keistimewaan untuk penganut semua agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz berkata demikian bagi menyokong titah Sultan Selangor sempena ulang tahun ke-30 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 12 Oktober lalu.
Antara intipati titah tersebut, baginda tidak menafikan bahawa setiap bangsa dan agama yang dianuti oleh masyarakat di negara ini adalah berbeza, namun begitu sikap hormat-menghormati dan toleransi adalah sangat penting dalam menyantuni perbezaan ini.
Titah baginda lagi, menyedari bahawa walaupun setiap penganut agama adalah berbeza dari segi kepercayaan, akidah dan amalannya, namun agama berperanan membimbing manusia melalui nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran-ajaran setiap agama.
Jelas baginda lagi, nilai-nilai murni inilah yang seharusnya dijadikan asas kepada usaha membangunkan manusia yang bertamadun dan progresif.
Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata,MAIS menyeru semua pihak agar dapat bersama-sama memelihara keharmonian, walaupun berbeza pegangan agama tetapi mampu menghormati agama orang lain.- UTUSAN