MAIPk bantu wanita hidap penyakit kaki gajah

MAIPk bantu wanita hidap penyakit kaki gajah

KEADAAN kaki Sakila Ahmad Shamsuri yang membengkak akibat penyakit kaki gajah yang dihidapinya sejak empat tahun lalu ketika ditemui di Jelapang, Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) akan meluluskan bantuan segera kos perjalanan untuk menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur untuk seorang wanita di sini yang menghidap penyakit bengkak kaki dikenali penyakit kaki gajah atau lymphatic filariasis yang disiarkan akhbar ini baru-baru ini.

Bahagian Perhubungan Korporat MAIPk berkata, pihaknya akan meluluskan bantuan segera kos perjalanan ke PPUM wanita itu, Sakila Ahmad Shamsuri, 39, setelah mendapat dokumen tarikh temu janji.

Menurutnya, berikutan laporan mengenai wanita itu yang disiarkan di Utusan Malaysia baru-baru ini, MAIPk Daerah Ipoh telah menghubungi Sakila melalui panggilan telefon untuk menyelami bentuk permasalahan yang dialami wanita itu.

Katanya, Sakila memberi­tahu dia telah mendapat persetujuan pembedahan penyakitnya itu di PPUM dengan kos RM10,000.

“Sakila juga telah mendapat pengecualian RM8,000 atas sebab status asnaf MAIPk dan tanggungjawab sosial korporat PPUM.

“Dia memerlukan tambahan RM2,000 dan telah pun peroleh daripada sumbangan ADUN, Ahli Parlimen kawasan serta orang ramai,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Sakila turut memohon bantuan MAIPk bagi wang tambang tiga kali pergi dan balik ke PPUM untuk tujuan pemeriksaan jantung sebelum beliau dapat pengesahan PPUM bagi pembedahan kakinya.

Justeru katanya, MAIPk akan meluluskan bantuan segera kos perjalanan wanita itu ke PPUM setelah mendapat dokumen tarikh temujanji.

“Sakila merupakan penerima bantuan bulanan MAIPk Ipoh sebanyak RM300 sebulan bermula Januari 2020 dan wakil telah hadir temuduga semakan penerima mukim Ipoh bagi penyambungan tahun 2023,” kata kenyataan itu.

Pada 6 Oktober lalu, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai keadaan Sakila yang tinggal di RPT Kampung Jelapang Baru di sini yang menghidap penyakit bengkak pada kaki kirinya dikenali penyakit kaki gajah atau lymphatic filariasis sejak empat tahun lalu.

Penyakit itu menyebabkan kakinya membengkak dan kini mencapai berat kira-kira 80 hingga 85 kilogram dengan ukur lilit 30 sentimeter.

Penyakit itu menyebabkannya tidak dapat bergerak seperti orang lain sebaliknya hanya duduk di rumah dan berharap ada pihak sudi membantunya menjalani pembedahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya