Madrasah Idrisiah absahkan peranan raja Melayu kembangkan Islam - Utusan Malaysia

Madrasah Idrisiah absahkan peranan raja Melayu kembangkan Islam

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) bergambar di hadapan bangunan induk Madrasah Idrisiah pada Sambutan 100 Tahun madrasah itu di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Penubuhan Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan yang kini berusia 100 tahun mengabsahkan peranan raja Melayu dalam melindungi, memelihara, membangun dan mengembangkan agama Islam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sebagai sebuah institusi agama tertua di negeri ini, Madrasah Idrisiah merupakan khazanah ummah yang berperanan sebagai tapak semaian pembangunan minda hingga berjaya melahirkan ribuan ulama dan umara.

“Madrasah Idrisiah mencipta kejayaan kerana adanya sokongan dan keyakinan. Institusi agama itu menunjukkan impian dan wawasan boleh direalisasikan jika ada kesungguhan, komitmen, pengorbanan dan semangat dermawan.

“Ia juga melambangkan pentingnya rangkaian ilmu dan ibadah, pentingnya rumah ibadah tidak hanya tegak sebagai bangunan ikonik yang sepi dalam isolasi sebaliknya hendaklah dilengkapi dengan institusi keilmuan yang membangunkan modal insan, modal intelek dan modal budaya,” titah baginda pada Sambutan 100 Tahun Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan dekat sini hari ini.

Berangkat sama, adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Eleena Almarhum Sultan Azlan Shah.

Turut hadir, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan mengumumkan kurniaan RM500,000 sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah kepada Madrasah Idrisiah.

Terdahulu, baginda turut berkenan merasmikan pemuliharaan bangunan induk dan asrama puteri Madrasah Idrisiah.

Baginda bertitah, Madrasah Idrisiah mengisahkan hasil tuaian daripada rangkaian semangat bekerjasama antara istana, ulama, umara dan rakyat setempat.

Katanya, madrasah itu juga menjadi dalil akan peranan penting dana wakaf yang sewajibnya dikunjungi dan digerakkan dengan lebih aktif oleh ummah pada hari ini.

“Lokasi madrasah yang terletak dalam kawasan istana melambangkan madrasah ini dinaungi secara langsung oleh Paduka Seri Sultan dan didukung bersama oleh para pembesar istana dan ulama,” ujar baginda.

Sultan Nazrin bertitah, madrasah yang terletak berhadapan Masjid Ubudiah itu turut berperanan sebagai pelengkap yang merangkaikan peranan masjid dengan program pembangunan insan dan perkembangan ilmu.

“Tuan Guru Allahyarham Syeikh Haji Nawawi Haji Tahir ialah ulama yang berperanan penting berusaha bersama tenaga pendidik merangka kandungan dan pendekatan pendidikan di Madrasah Idrisiah manakala Haji Muhammad Haji Salleh pula diamanahkan sebagai mudir pertama,” ujar baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya