KOTA KINABALU: Parti Sabah dan Sarawak perlu meletakkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai syarat utama untuk membentuk kerajaan Persekutuan dengan parti dari Semenanjung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perjanjian itu penting kerana manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat di kedua-dua wilayah tersebut.
Walaupun MA63 penting, ada syarat lain juga yang perlu diambil kira seperti soal agihan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak. Ketika ini peruntukan yang diberikan amat terbatas hingga menyukarkan pelaksanaan projek-projek pembangunan.
“Namun, apa yang lebih penting adalah kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya itu stabil dengan kepimpinan yang betul.
“Saya yakin, kalau ada kepimpinan sebegitu, urusan perbelanjaan kewangan akan disalurkan di kawasan yang lebih memerlukan.
“Bukan seperti keadaan sekarang, belanja duit untuk pembelian aset keselamatan tapi, ia lebih kepada didorong oleh kontrak dan bukan demi keselamatan. Itu bukan cara untuk kita bergerak maju ke hadapan,” katanya ketika mengulas tentang syarat bagi membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 sekiranya tiada parti tunggal memperoleh majoriti mudah.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam ‘Reset’ Sabah di Dewan Hakka semalam.
Menurut beliau, syarat kerjasama itu tidak semestinya dimeterai secara rasmi, cukuplah jika syarat-syarat itu dapat dilaksanakan dengan baik demi manfaat rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Kita akan lihat jika perjanjian itu perlu atau tidak perlu tapi, bagi kita jika kerusi kita peroleh itu banyak maka, keputusan ditangan kita,” katanya.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan, ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak perlu meletak sokongan bersyarat kepada parti dari Semenanjung untuk membentuk kerajaan Persekutuan jika tiada parti meraih majoriti mudah.
Menurut Felo Kanan, Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir, antara syarat yang boleh dikenakan adalah pelaksanaan MA63 dan jika syarat itu tidak dipenuhi sewajarnya, Sabah dan Sarawak perlu mengkaji semula sokongan terhadap parti yang memerintah. –UTUSAN