Lima tokan dadah dicekup, 4.56 kg heroin dirampas

Lima tokan dadah dicekup, 4.56 kg heroin dirampas

KAMARUL ZAMAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan lima lelaki yang disyaki tokan dadah dalam lima serbuan berasingan di sekitar Pontian, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya turut merampas 4.56 kilogram dadah bernilai RM61,104 dalam serbuan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor bermula pukul 1 petang hingga 7 malam.

“Kesemua lelaki warga tempatan yang ditahan berusia antara 18 hingga 36 tahun. Dadah jenis heroin seberat 4.56 kilogram itu boleh digunakan seramai 22,800 penagih.

“Polis turut menyita dua buah motosikal bernilai RM13,500. Keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi khas ini adalah RM74,604,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah, namun dua orang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Modus operandi digunakan adalah kesemua suspek menjadi orang tengah bagi mendapatkan bekalan daripada pembekal dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

“Mereka ini dipercayai telah menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu secara aktif sejak September lalu,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 26 Oktober ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 1 Januari lalu hingga semalam, JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 11,745 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

“Dalam tempoh sama, JSJN Johor berjaya merampas dadah sebanyak 2.95 tan. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM12.54 juta, turut disita harta berjumlah RM7.51 juta,” katanya sambil berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran dadah di kawasan mereka dengan menghubungi talian hotline JSJN 012-2087222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya