PETALING JAYA: Ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat di sekitar Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, bermula pagi tadi sehingga sebelah malam, hari ini.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ribut petir satu dua tempat diramal berlaku pada sebelah petang di Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, ribut petir satu dua tempat juga dijangka berlaku di kawasan pedalaman Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta di beberapa kawasan pantai di Kedah.
Pada sebelah malam, ribut petir satu dua tempat diramal berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Hujan satu dua tempat pula dijangka berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta beberapa kawasan di pedalaman Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Bagaimanapun, tiada hujan diramal berlaku di Perlis, Putrajaya dan Melaka pada sebelah malam. –UTUSAN