KOTA BHARU: Seorang lelaki di khuatiri lemas selepas bertindak terjun dari Jambatan Pok Nik Lah ke dalam Sungai Pengkalan Datu di sini hari ini.
Isteri mangsa yang mahu dikenali sebagai Siti, 28, berkata, sejak tiga minggu lalu suaminya kerap kali berpesan supaya menjaga diri dan tiga anak yang masih kecil.
“Cuma pada pagi tadi, saya sekali lagi terbaca di aplikasi WhatsApp di dalam telefon milik suami yang memberitahu perkara sama. Saya tidak menyedari suami keluar jam berapa. Hal ini kerana sebelum itu saya mengejutkan dia untuk bangun solat Subuh,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Siti memberitahu, sejurus selepas mengetahui perkara itu dia yang tinggal di Kedai Lalat terus bergegas ke lokasi bersama ahli keluarganya yang lain.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi dia mendapati motosikal suami berada di bawah jambatan itu dan orang awam memaklumkan mangsa telah terjun ke dalam sungai.
“Saya juga berharap suami akan ditemukan secepat mungkin,” jelasnya.
Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Zukrie Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.29 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Gerakan mencari menyelamat dilakukan pada jarak enam meter dari tempat mangsa dilaporkan terjun,” jelasnya. – UTUSAN