GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di Pos Simpor dan Pos Gob di sini mampu menarik nafas lega apabila lebih RM2 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menggantikan tujuh buah jambatan runtuh atau tidak selamat yang merupakan nadi utama mereka keluar masuk dari kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, jambatan yang terletak di laluan sepanjang 34 kilometer bermula dari Pos Simpor menuju ke Pos Gob itu sering mengalami kerosakan terutamanya semasa musim hujan.
Menurutnya, pembinaan jambatan tersebut melibatkan Sungai Pinchong, Sungai Gawin, Sungai Gob dan beberapa kawasan lain yang dijangka mampu memberi kemudahan bukan sahaja kepada lebih 1, 000 penduduk Orang Asli.
“Pada masa yang sama, pembinaan itu turut memberikan manfaat kepada agensi-agensi kerajaan ataupun badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membuat lawatan ke pos berkenaan.
“Saya telah turun padang dan melihat sendiri keadaan jambatan berkenaan dan mendapati ada yang sudah tidak selamat untuk digunakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ab. Aziz memberitahu, projek tersebut yang melibatkan tujuh jambatan tersebut sedang berjalan itu dijangka siap tahun hadapan.
Katanya, sebelum ini jambatan tersebut adalah hasil binaan penduduk kampung menggunakan batang pokok hutan, namun ianya tidak bertahan lama apabila runtuh semula.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Kampung Kajang, Pos Gob, John Busu, 36, bersyukur apabila jambatan kayu yang digunakan sejak berpuluh tahun lalu akan dinaik taraf.
Katanya, sebelum ini penduduk sering bergadai nyawa apabila melalui jambatan kayu dan jalan yang licin menggunakan motosikal.
“Kami penduduk kampung memang sudah lama mahu jalan itu dinaik taraf. Jambatan itu bukan saja berlumpur malah kerap runtuh kerana binaanya tidak kukuh.
“Kami berharap kerja pembinaan jambatan itu dapat disiapkan secepat mungkin untuk memudahkan kami keluar dan masuk kampung serta ke bandar Gua Musang,” katanya. – UTUSAN