SHAH ALAM: Sebuah lokasi ternakan babi yang diusahakan lapan premis di atas tanah persendirian berstatus pertanian dikenal pasti punca pelepasan air kotor dan berbau ke pantai Tanjung Sepat.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, pihaknya menerusi beberapa agensi mengatur strategi dan usaha menangani isu pencemaran air laut itu.
Jelas beliau, lawatan bersepadu di beberapa ladang ternakan babi dilakukan bagi mengenal pasti punca pelepasan air kotor berwarna hitam itu seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
“Lokasi punca itu merupakan tempat penternakan babi diusahakan lapan premis yang beroperasi dengan lesen didaftarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Siasatan mendapati air parit yang mengalir keluar dari tanah lot persendirian dan ke laut itu disyaki punca kepada penurunan kualiti air tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/WhatsApp-Image-2022-10-08-at-11.58.38-AM-600x399.jpeg)
Jelas Loy Sian, pensampelan turut dilaksanakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di premis berkenaan.
“Ia bagi melihat parameter Ammoniakal Nitrogen (AN) dan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD). Keputusan sampel itu berada dalam Kelas Kelima dan signifikan dengan aktiviti berkaitan peternakan,” jelasnya.
Justeru beliau memberitahu, LUAS mengeluarkan surat arahan kepada pemilik tanah mengikut Seksyen 121 Enakmen LUAS 1999.
“Pemilik tanah itu diarah menjalankan kerja pemulihan dan pembaikan ke atas parit di dalam lot tanah sehingga kualitinya berada pada tahap memuaskan. Selain itu, pemilik berkenaan diminta menjalankan kerja pembaikan ke atas parit di luar lot tanahnya,” katanya.
Tambah Loy Sian, satu kertas siasatan terperinci akan dilengkapkan untuk tindakan perundangan sekiranya pemilik premis gagal mematuhi arahan itu.
Laporan khas Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu. Selain bau busuk, air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan berwarna hitam pekat dan mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter.
Tinjauan di sekitar Kampung Ladang Tumbuk mendapati, kedudukan kandang babi di hanya terletak 50 hingga 200 meter dengan penempatan penduduk melibatkan sempadan Kuala Langat, Teluk Bunut serta Tanjung Sepat.
Bulan lalu, JPV mengarahkan semua pengusaha ternakan babi di Tanjung Sepat segera melaksanakan kerja pembersihan dan penyelenggaraan ke atas ladang dan sistem kumbahan mereka. Selain itu, najis ternakan berkenaan perlu dilupuskan di luar kawasan ladang dan dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan. – UTUSAN