KUALA LUMPUR: Kelab Veteran Kor Risk Malaysia (KVRM) baru-baru ini berjaya menganjurkan kejohanan golf amal – Charity Golf Tournament 2022 di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), di sini.
Kejohanan yang disertai lebih 140 pemain itu bermatlamat mengutip dana bagi membantu ahli-ahli bekas anggota Kor Risik Malaysia tidak berpencen terutama golongan balu dan orang kurang upaya (OKU).
Bendahari KVRM, Datuk Kamaruddin Mohamed berkata, hasil kejohanan golf amal itu, pihaknya berjaya mengumpul dana RM137,600 hasil daripada sumbangan syarikat, individu dan yuran penyertaan pemain.
Katanya, hasil kutipan itu dimasukkan ke dalam Tabung Amal KVRM yang akan digunakan bagi membantu pesara-pesara yang terdiri daripada ahli-ahli bekas anggota Kor Risik Malaysia tidak berpencen dan balu serta OKU.
“Dalam majlis kali ini, seramai 20 pesara dan balu dibawa bagi menerima bantuan wang tunai yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim.
“Selain itu, Tabung Amal KVRM ini juga digerakkan bagi menjayakan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kelab seperti membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang dan Selangor baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan
Kamaruddin berkata, hasil sambutan dan kejayaan golf amal kali ini menjadi perintis bagi KVRM untuk menganjurkan kejohanan yang sama pada masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua peserta, penaja-penaja seperti Weststar, DK Bikes Sdn. Bhd., Golfer Dock, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Seri Hadi Hussin dan mereka yang terlibat menjayakan kejohanan golf amal itu.
Dalam kejohanan itu juga, katanya, hadiah wang tunai terkumpul kira-kira RM1,700 hasil kutipan ‘bull eyes’ yang gagal dimenangi peserta akan dimasukkan ke dalam Tabung Amal KVRM.
“Dua buah motosikal Harley Davidson yang ditaja oleh DK Bikes Sdn. Bhd. bagi pemenang ‘Hole In One’ juga gagal dimenangi,” ujarnya. – UTUSAN