GOMBAK: Kudung sebelah kaki tidak mematahkan semangat seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) untuk bersama 2,597 penuntut baharu lain menjadi mahasiswa rasmi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Muhammad Isa Mohd. Rashid, 19, bakal mengikuti pengajiannya di universiti itu dalam bidang Seni Komunikasi Bahasa Inggeris Antarabangsa di Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan bagi sesi kemasukan 2022/2023.
Selain Muhammad Isa, seramai 31 pelajar OKU lain diterima masuk ke UIAM sejajar polisi inklusif OKU yang dilancarkan universiti berkenaan sejak November 2018.
Pelajar dari Baling, Kedah itu yang kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan pada 2019 berkata, dia teruja dapat berada setanding penuntut sempurna lain tanpa menjadikan kekurangannya sebagai penghalang untuk mengejar impian.
Pada masa sama, dia tekad memberi inspirasi kepada rakan-rakan bahawa dengan kekurangan beliau tetap terus berusaha dan berjaya.
“Saya berasa tidak sabar dan teruja untuk bersama-sama rakan-rakan sekuliah menjalani kehidupan sebagai mahasiswa serta bersama-sama menimba ilmu di UIAM.
“Sepanjang minggu ta’aruf (suai kenal) ini, rakan-rakan banyak membantu dan mereka sangat peka keperluan saya sekali gus menguatkan lagi semangat tanpa rasa keseorangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bai’ah (ikrar) pelajar baharu di UIAM Kampus Gombak, di sini, semalam.
Majlis berkenaan serentak diadakan di kampus UIAM lain di Kuantan, Pahang (849 pelajar baharu) dan Hub Pendidikan Pagoh, Johor (389 pelajar baharu) bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang masing-masing.
Majlis Bai’ah adalah acara kemuncak minggu ta’aruf bagi pelajar baharu dan sebagai simbolik menandakan mereka secara rasminya menjadi warga UIAM.
Sementara itu, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak mengingatkan semua pelajar baharu bertuah terpilih memasuki universiti itu kerana mereka tidak menghadapi masalah penginapan sepanjang pengajian.
“Setiap kampus disediakan asrama penginapan sepenuhnya sejak penubuhan universiti ini pada 1983 dan penuntut tinggal di asrama dari mula mendaftar sehingga tamat pengajian,” katanya ketika berucap pada majilis berkenaan. – UTUSAN