MELAKA: Penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dicalonkan semula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP telah bersetuju mencalonkan semula Poay Tiong kerana beliau telah menunjukkan komitmen tinggi sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka sejak 2018.
Katanya, Poay Tiong juga telah menjalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab serta berani bersuara di Dewan Rakyat.
“Calon ini adalah seorang wakil rakyat yang berpengalaman kerana pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh dan satu penggal sebagai ahli Parlimen.
“Justeru, Jawatankuasa Pemilihan Calon bersetuju mencalonkan semula penyandang kerusi (Poay Tiong) di Kota Melaka mewakili PH,” katanya dalam ucapan perasmian Jentera PH Kota Melaka di sini, semalam.
Pada PRU-14, Poay Tiong menang dengan majoriti besar 49,175 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Eric Choo Wei Sern dan calon Bebas, Goh Leong San.
Parlimen Kota Melaka merupakan kubu kuat DAP sejak 1969 dan hanya tewas sekali dalam PRU-11 pada 2004 kepada calon BN. – UTUSAN