Kerusi mana terserah, syukur dapat bertanding - Hasni

Kerusi mana terserah, syukur dapat bertanding – Hasni

HASNI Mohammad meninjau dan melihat aksesori selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu Al-Ikhlas Gadjet di Larkin Sentral, Johor Bahru, hari ini. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mengakui beliau antara calon yang akan bertanding di luar kawasan yang dianggotainya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, perkara tersebut tidak dapat dielakkan sekiranya itu merupakan kehendak pucuk kepemimpinan parti.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa saya dalam pertimbangan pucuk pimpinan (UMNO) untuk disenaraikan bertanding bagi kawasan selain Parlimen saya menjadi anggota iaitu Pontian. Itu pucuk pimpinan yang akan tentukan siapa bertanding di mana, saya sendiri kalau diberi peluang dapat bertanding sudah dikira bagus, itu yang penting, kerusi mana tidak kisah.

“Bagi saya apa yang penting adalah tempat di mana seseorang calon itu dihantar bertanding dia harus menang. Jadi, kita letak calon yang punyai potensi besar untuk menang,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu Al-Ikhlas Gadjet di Larkin Sentral, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, keputusan meletakkan calon luar itu bukan hanya untuk kepentingan seseorang individu, sebaliknya untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat secara langsung.

“Tindakan ini bukan hanya untuk individu tertentu tetapi juga untuk mengetengahkan potensi dan juga demi masa depan politik Johor. Jadi, kemungkinan bertanding di luar kawasan itu menjadi salah satu pertimbangan.

“Perkara ini juga penting dalam kita menyusun strategi untuk menawan sekurang-kurangnya 16 hingga 17 kerusi Parlimen pada PRU15 pada 19 November depan,” ujarnya.

Hasni bagaimanapun mengakui tindakan berkenaan mungkin menyebabkan bantahan dalam kalangan penyokong setempat, tetapi beliau percaya UMNO dan BN Johor mampu menghadapinya dengan bijak.

“Saya rasa reaksi awalan itu perkara biasa, pasti ada sahaja yang bertujuan untuk menidakkan calon tetapi saya yakin pengalaman BN. Dalam menghadapi pilihan raya kita ada cara dan itu dapat dilihat sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Semasa itu ada juga pihak yang membantah tetapi apabila tiba masanya sebagai ahli parti yang betul-betul berjuang, saya yakin dan percaya mereka akan jadikan perkara tersebut sebagai hal sampingan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hasni turut memberitahu pihaknya tidak berdepan masalah meletakkan calon boleh menang di kerusi-kerusi Parlimen yang ikonik buat kepemimpinan parti lawan antaranya Parlimen Pagoh membabit Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“UMNO tidak pernah kurang pemimpin. Jadi, saya tidak nampak ada masalah untuk letak calon boleh menang di Parlimen Pagoh. Malah, jentera BN di semua peringkat sedang digerakkan untuk memantapkan bahan kempen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya