PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai melakukan siasatan ke atas Tan Sri Tommy Thomas yang kemungkinan melakukan salah laku ketika menjadi Peguam Negara.
Sumber berkata, kertas siasatan ke atas bekas Peguam Negara ketika era Pakatan Harapan (PH) mentadbir sudah selesai diperkemas dan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
“Kini bergantung kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya ke atas hasil siasatan polis,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pada 1 Oktober lalu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin dilaporkan berkata, polis merakam keterangan Tommy bagi siasatan membabitkan tulisan beliau dalam bukunya My Story: Justice in The Wilderness.
Ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar agensi penguat kuasa melakukan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku oleh bekas Peguam Negara itu.
Terdahulu, Ismail Sabri dan Menteri Kabinet mendengar taklimat daripada pasukan petugas khas mengenai laporan siasatan ke atas buku tersebut.
Berdasarkan siasatan, pasukan petugas khas itu menemukan empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman membabitkan pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional dan kenyataan berbaur hasutan.
Pasukan petugas khas seterusnya mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.
Buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness sebelum ini mengundang kritikan pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.
Ini termasuk beberapa dakwaan yang ditulis dalam buku itu antaranya isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.
Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. – UTUSAN