Kerja naik taraf CIQ bukan halang rakyat balik mengundi - Fazli

Kerja naik taraf CIQ bukan halang rakyat balik mengundi – Fazli

MOHAMAD Fazli Mohamad Salleh (tengah) meninjau operasi di CIQ BSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menegaskan bahawa kerja menaik taraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini bukan bertujuan menghalang rakyat Malaysia pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerja-kerja berkenaan dilakukan untuk memudahkan perjalanan pengembara antara kedua-dua negara.

Justeru, beliau menyangkal laporan sebuah blog yang mendakwa kerja menaik taraf sistem e-gate di BSI untuk pejalan kaki adalah bagi menghalang rakyat Malaysia pulang dari Singapura untuk mengundi pada 19 November depan.

“Tujuan kerja naik taraf di BSI adalah untuk memudahkan ribuan pengembara harian yang melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor.

“Ia tidak ada kena mengena dengan PRU15 kerana kerja-kerja menaik taraf di BSI telah dijalankan sejak Mei lalu secara berperingkat-peringkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Februari tahun depan.

“Malah, kerja menaik taraf yang diperkatakan itu bakal menyaksikan peningkatan jumlah e-gate akan disiapkan pada 10 November. Jadi, rakyat Malaysia mempunyai banyak masa untuk pulang sebelum PRU15,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohamad Fazli yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh turut memberitahu, tindakan segelintir pihak memutar belit fakta mengenai kerja menaik taraf itu sebagai bahan politik adalah tidak bertanggungjawab.

“Kami tidak menutup semua kaunter untuk kerja-kerja menaik taraf di BSI kerana terdapat 18 kaunter dibuka untuk pejalan kaki termasuk kaunter khas warga emas, wanita hamil, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang berstatus pemastautin tetap Malaysia.

“Kami juga akan menambah bilangan e-gate daripada 14 kepada 32 unit untuk laluan masuk dan daripada 14 kepada 26 unit untuk laluan keluar, sekali gus memberi perjalanan lebih cepat untuk pejalan kaki,” ujarnya.

Selain menambah bilangan e-gate, kerja-kerja menaik taraf yang sedang dijalankan turut melibatkan 74 kaunter kereta di BSI yang telah dibahagikan kepada empat zon bagi mempercepatkan kerja-kerja.

“Kerja-kerja itu dilaksana ketika ini dan bukannya ketika tempoh berkurung pada pandemik Covid-19 kerana kekurangan tenaga kerja bagi melaksanakannya.

“Kita harus ingat Malaysia telah menarik balik peraturan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan termasuk membuka semula sempadan pada 1 April. Beberapa vendor tidak dapat memenuhi masa ditetapkan sebab itu kerja-kerja dimulakan sebulan kemudian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya