Kerajaan perlu bantu pelajar IPT pulang mengundi

Kerajaan perlu bantu pelajar IPT pulang mengundi

KERAJAAN harus memikirkan kaedah dan alternatif yang terbaik bagi pelajar IPT pulang mengundi pada PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan harus memikirkan kaedah dan alternatif yang terbaik bagi pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kali ini. 

Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, kerajaan seharusnya perlu ada langkah terbaik untuk menggalakkan pelajar-pelajar IPT ini pulang mengundi terutamanya yang mempunyai kekangan kos tambang. 

Katanya, ia juga merupakan satu tanggungjawab bersama yang harus diambil sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang kerana pelajar-pelajar ini juga adalah pengundi yang berdaftar dan layak untuk mengundi. 

“Mungkin mereka boleh menawarkan potongan harga pulang melalui syarikat pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang atau apa apa sahaja pengangkutan awam bagi memudahkan pelajar pergi dan pulang daripada mengundi. 

“Jika kita tidak membantu mereka dalam perkara-perkara sebegini, maka ia adalah satu kerugian kepada negara kerana mereka layak untuk memilih pemimpin di peringkat kerajaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Fahami, tidak boleh dinafikan bahawa jumlah pelajar yang dikhuatiri tidak pulang mengundi kerana kekangan kewangan adalah suatu perkara yang serius dan membimbangkan.

Justeru, tambahnya, perkara-perkara sebegini haruslah mendapat perhatian yang terus daripada mana-mana parti politik, termasuk pihak kerajaan kerana kuasa berada di tangan mereka. 

Terdahulu, dilaporkan kira-kira 1.4 juta pelajar IPT dikhuatiri tidak akan mengundi pada PRU15 kali ini ekoran mempunyai masalah kewangan untuk pulang sekali gus dianggap satu kerugian yang besar buat negara.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, pihaknya ada menerima aduan dan keluhan daripada mahasiswa-mahasiswa berkaitan kos pulang mengundi terlalu mahal khususnya mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak. 

“Golongan mahasiswa dan anak-anak muda ini, mereka pastinya teruja untuk mengundi buat kali pertama, cuma isunya adalah kos pengangkutan yang tinggi untuk mereka pergi dan balik.

“Tidak semua mampu untuk menampung kos pengangkutan. Jadi, saya berharap kerajaan boleh bantu pelajar-pelajar ini dengan menyediakan bas-bas atau pengangkutan awam di universiti masing masing dengan menghantar mereka pergi dan balik daripada mengundi,” katanya.

Mohd. Izzat juga turut berharap syarikat-syarikat swasta dapat memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan memberi potongan harga tiket kepada pelajar dan tidak mengambil kesempatan serta keuntungan pada waktu-waktu yang penting sebegini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya