KUANTAN: Kerajaan negeri berjaya memperoleh kutipan hasil negeri RM1.037 bilion melebihi sasaran ditetapkan sebelum ini dalam Bajet Pahang 2022 iaitu RM1.036 bilion.
Pencapaian terbabit dianggap pencapaian membanggakan negeri ini kerana buat julung kalinya Pahang berjaya mencapai kutipan hasil mencecah RM1 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia sekali gus meletakkan Pahang “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan negeri-negeri maju yang lain seperti Johor dan Selangor.
Katanya lagi, sehingga 30 September lalu, negeri ini berjaya mengumpulkan pelaburan berjumlah RM20.56 bilion melibatkan RM9.55 bilion pelaburan domestik dan RM11.01 bilion antarabangsa melangkaui sasaran RM18 bilion yang disasarkan sebelum ini.
“Statistik ini adalah petunjuk jelas keyakinan para pelabur, terhadap potensi serta kestabilan yang ada di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Bajet Pahang 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Selain itu Wan Rosdy berkata, negeri ini juga berjaya mengurangkan sebanyak 71.24 peratus hutang kerajaan membabitkan purata 17.8 peratus setiap tahun dalam tempoh empat tahun pentadbiran.
“Jika trend ini berjaya diteruskan, dengan momentum serta kesungguhan yang dipamerkan semua pihak, tidak mustahil Pahang akan berjaya mengurangkan lagi hutang negeri, insya-Allah,” ujarnya.
Bertemakan “Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera” yang telah dipilih menjadi pasak utama kepada keseluruhan Bajet Negeri Pahang Tahun 2023, Kerajaan Pahang mensasarkan kutipan hasil mencecah RM1.083 bilion tahun hadapan.
“Unjuran hasil ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah, dengan peningkatan 4.52 peratus, berbanding sasaran Bajet 2022.
“Daripada jumlah ini, RM1.071 bilion akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus, yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap serta Perbelanjaan Lain dan Aset, dengan peningkatan sebanyak 40 juta ringgit, atau 3.73 peratus berbanding tahun 2022,” katanya.
Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, menurut Wan Rosdy, peruntukan yang disediakan RM318.83 juta.
“Jumlah ini merangkumi projek infrastruktur RM143.53 juta dengan pembiayaan secara langsung manakala sebanyak RM175.3 juta atau bersamaan 54.98 peratus, adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air,” katanya.
Wan Rosdy juga berkata, Bajet Pahang bagi tahun hadapan akan menggariskan lima strategi belanjawan utama iaitu meransang kemajuan ekonomi, memperkukuh tadbir urus, membangun infrastruktur yang mampan, menjamin kesejahteraan rakyat dan membina generasi masa depan yang gemilang.
“Bagi memastikan sasaran kutipan hasil pada 2023 dapat dicapai, kerajaan negeri merangka beberapa strategi baharu. Selaku negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, fokus utama kutipan hasil kerajaan negeri sudah semestinya kepada hasil tanah, yang dianggarkan kira-kira RM675.37 juta.
“Jumlah sasaran ini adalah peningkatan sebanyak RM31.66 juta atau 4.91 peratus berbanding sasaran pada tahun ini 2022,” katanya. –UTUSAN