KUALA NERUS: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) didesak mengatasi segera masalah longgokan sampah di sekitar Batu Rakit di sini yang gagal diatasi sejak awal tahun ini.
Masalah longgokan sampah didakwa berlaku setelah kontraktor yang dilantik sebelum ini didakwa gagal mengangkut sampah mengikut jadual yang ditetapkan.
Antara kawasan yang terlibat dengan masalah tersebut adalah Wakaf Tengah, Mengabang Lekor dan Alor Damat.
Bagaimanapun, bermula pada bulan ini, difahamkan syarikat kontraktor terlibat menyerahkan semula tugas mengangkut sampah di kawasan terlibat kepada pihak MBKT dan penduduk mengharapkan masalah longgokan sampah itu tidak berlarutan lagi.
Penduduk, Ramli Rusli, 30, berkata, kontraktor sebelum ini didapati tidak serius menjalankan kerja-kerja mengangkut sampah apabila dilakukan tidak mengikut jadual.
Menurutnya, tong sampah yang disediakan pula tidak mencukupi berikutan peningkatan jumlah penduduk sehingga sampah melimpah dan berlonggok di luar tong-tong sampah.
“Penduduk membayar cukai dan mengharapkan perkhidmatan mengutip sampah dapat diuruskan dengan cekap untuk keselesaan penduduk,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Suri rumah, Nur Kamsiah Ali, 32, pula berkata, dia mengharapkan kerajaan negeri dapat campur tangan dalam memastikan masalah sampah di kawasan tersebut dapat diatasi segera.
“Kerajaan negeri mungkin menganggap masalah sampah di kawasan ini sebagai kes terpencil tetapi, di sebalik itu, penduduk cukup marah terhadap kegagalan pihak bertanggungjawab mengatasi masalah sampah,” ujarnya. -UTUSAN