Kaji semula isu royalti filem- PM

Kaji semula isu royalti filem- PM

ISMAIL Sabri Yaakob diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa hadir pada Majlis Perasmian Penutup Ekspresi @ Finas, di Studio Merdeka Finas, Hulu Kelang, Selangor. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan royalti filem perlu diteliti semula bagi menjaga kepentingan pelakon, penerbit, pengarah dan mereka yang terlibat dalam aktiviti perfileman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah mula dibincangkan sewaktu beliau menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Waktu itu diwujudkan komuniti perfileman dan drama untuk melihat industri tersebut. Kalau artis penyanyi dapat royalti, untuk perfileman hanya one-off iaitu sewaktu berlakon.

“Contohnya filem Mat Kilau, pelakon menandatangani kontrak, tapi filem itu kalau 100 tahun lagi ditayang, mereka tidak dapat apa-apa,” katanya berucap Majlis Perasmian Penutup Ekspresi@Finas di sini hari ini.. 

Menurut Ismail Sabri, perkara yang sama turut terjadi terhadap filem Tan Sri P. Ramlee yang ditayang berulang kali di kaca televisyen namun tiada royalti diberikan kepada keluarganya.

“Kalau ikut royalti itu, berapa banyak keluarga beliau dapat bayaran. Malangnya, kita tidak seperti itu dan anak-anak P. Ramlee kesusahan.

“Justeru, perlu dilihat semula untuk kepentingan artis tersebut. Ramai artis filem ini sudah berumur serta menghadapi masalah untuk menyara hidup. Jadi jika dapat royalti berterusan, ia dapat membantu mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, tindakan kerajaan bagi memulihkan semula ekonomi industri kreatif negara dengan melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 9 September 2021 memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat industri kreatif, artis dan pekerja yang melibatkan 19,000 buah syarikat. 

Katanya, Data Motion Pictures Association of America (MPPA) menyatakan industri perfileman negara berada di tangga ke-19 dunia pada tahun 2019 dan 2020, dengan nilaian sebanyak USD3 bilion (RM14.21 bilion).

“Industri perfileman tempatan yang merangkumi sektor pengeluaran, pengedaran dan pemameran filem, dianggarkan mengalami kerugian lebih RM10 bilion sejak 18 Mac 2020 kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

“Daripada jumlah itu, industri pemameran pawagam kehilangan kutipan kasar sebanyak RM1.08 bilion pada 2019 kepada RM138.9 juta pada tahun 2020 dan RM28.9 juta pada 2021,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya