ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul hari ini dipilih sebagai Ketua Pembangkang Kedah baharu menggantikan Datuk Phahrolrazi Mohd. Nawawi.
Pemilihan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh kesemua 10 ADUN Pakatan Harapan (PH) Kedah dalam satu mesyuarat, di sini hari ini.
Menurut Johari yang merupakan ADUN daripada PKR itu, beliau berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh kesemua ADUN berkenaan dan berazam memikul tanggungjawab itu dengan sebaiknya.
“Alhamdulillah, semua rakan dalam PH sebulat suara memberi peluang kepada saya sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah menggantikan Datuk Phahrolrazi.
“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk memastikan perjalanan dewan seperti yang diharapkan, iaitu konstruktif. Kita akan jadi pembangkang yang konstruktif dan terbaik untuk negeri kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menurut Johari, beliau akan bertukar kedudukan kerusi dalam DUN berkenaan esok setelah pemilihan berkenaan dimaklumkan secara rasmi kepada Speaker DUN, Datuk Juhari Bulat.
Terdahulu, Juhari meminta ADUN pembangkang bermesyuarat bagi memilih ketua baharu bagi menggantikan Phahrolrazi yang dipecat keahliannya daripada Parti Amanah Negara (Amanah) semalam.