PETALING JAYA: Pelakon berkaliber, Janna Nick dan sutradara hebat, Adrian Teh dipilih antara 12 anak seni yang menerima anugerah Ikon Ekspresi Seni anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), semalam.
Janna berkata, dia tidak menyangka dipilih sebagai ikon dalam kategori pelakon dan mengganggap penghargaan itu sebagai suntikan semangat untuk terus memperjuangkan bakat seni serta menghasilkan naskhah berkualiti tinggi.
“Terharu sebenarnya dapat sebaris dengan nama besar dalam industri seni antaranya seniwati, Fauziah Nawi dan primadona alaf baharu, Erra Fazira. Satu penghargaan yang cukup besar untuk saya.
“Saya akan terus berkarya dan menghasilkan produk seni berkualiti tinggi. Saya percaya, ini adalah suntikan semangat untuk saya dan anak seni lain terus memartabatkan industri perfileman tanah air,” ujarnya.
Janna ditemui selepas majlis penyerahan yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis perasmian penutup program Ekspresi@Finas di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Dr. Md. Nasir Ibrahim.
Selain Janna dan Adrian, nama besar dalam industri seni antaranya Erra Fazira, Datuk Adi Putra, Datuk A. Aida dan Syamsul Yusof turut diangkat sebagai Ikon Ekspresi Seni untuk menghargai sumbangan mereka dalam dunia perfileman dan kreatif.
Sementara itu, penerbit dan pengarah, Adrian Teh berkata, anugerah yang diterima membuktikan hasil kerjanya dalam menerbitkan filem berkualiti tinggi dihargai.
“Saya terkejut sebenarnya apabila hanya saya dan Syamsul menerima anugerah ini untuk kategori pengarah. Saya gembira dan bangga apabila diangkat sebagai ikon.
“Ini adalah pemangkin semangat untuk saya terus bekerja keras menghasilkan produk seni yang mampu mengangkat martabat industri perfileman kita ke peringkat lebih tinggi,” katanya.