PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H bersamaan 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bermula pukul 9.30 pagi, Ahad ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata, jawatankuasa menetapkan agar majlis tersebut diteruskan semula sebagaimana tahun-tahun sebelumnya yang melibatkan perhimpunan secara fizikal susulan negara kini telah memasuki Fasa Endemik.
Bagaimanapun, katanya, acara perarakan yang menjadi acara lazim sambutan pada setiap tahun tidak diadakan pada tahun ini.
“Sambutan Maulidur Rasul merupakan salah satu acara rasmi kerajaan yang disambut setiap tahun sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia.
“Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah.
“Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong telah berkenan untuk berangkat hadir ke majlis tersebut. Perdana Menteri dan isteri turut sama akan hadir bagi memeriahkan acara sambutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hakimah, tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ yang bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan Idris.
Katanya, kedua-dua pendekatan tersebut menjadi simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi sebarang cabaran bagi mencapai kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera yang menjurus kepada pemeliharaan kemaslahatan umah melalui lima prinsip utama iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
“Seperti kelaziman, Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul kepada individu-individu yang layak akan disampaikan dalam sambutan kali ini sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.
“Majlis pada kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam orang penerima Anugerah Maulidur Rasul. Penerima Anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan Islam yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara,” katanya.
Jelas beliau, penganjuran kali ini juga dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya pada latar pentas yang akan memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas.
Selain itu, katanya, Jakim juga akan membawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Nabi Muhammad sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa-peristiwa dari sirah kehidupan baginda.
“Persembahan khas ini diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian yang berunsurkan keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.
“Sebagai sebahagian dari program Sambutan Maulidur Rasul, sebuah Forum Perdana Ehwal Islam Khas turut diadakan pada 6 Oktober di TV1 dengan tajuk ‘Kasih Tanpa Syarat’ anjuran Kerajaan negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah dengan kerjasama JAKIM dan RTM.
“Isu yang bakal dibincangkan ialah bagaimana sifat Rasulullah SAW yang perlu dicontohi oleh Keluarga Malaysia dalam usaha memupuk nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam diri generasi pelapis negara.
“Selain itu, penonton juga boleh menyaksikan sambutan ini secara langsung melalui TV1 RTM dan Nasional fm selaku penyiar rasmi, serta lain-lain saluran stesen radio di bawah RTM seperti SALAMfm, Aifm, TRAXXfm, Minal fm, Asyik fm dan stesen radio RTM negeri. Siaran radio ini disampaikan dalam pelbagai Bahasa seperti Tamil, Mandarin, Inggeris dan dialek Orang Asli,” jelasnya. – UTUSAN