IPOH: Pakatan Harapan (PH) mengetengahkan manifesto yang memberi fokus kepada isu-isu dekat dengan rakyat dan penyelesaiannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, manifesto itu dirangka dengan mengambil kira pengalaman PH sebagai kerajaan.
“Sebagai persiapan menghadapi PRU15, kita mewujudkan jawatankuasa manifesto yang diberi tugas menyusun tawaran PH pada pilihan raya kali ini.
“Manifesto ini mengambil kira pengalaman (PH) menjadi kerajaan dengan memberi fokus isu-isu yang dekat dengan rakyat.
“Sebelum penamaan calon PH, kita akan melancarkan manifesto ini untuk PRU15,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Ipoh Convention Center, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, meskipun sentimen agama dan perkauman dijangka menjadi ‘senjata’ serangan pihak lain, beliau menegaskan PH sama sekali tidak mengikut rentak itu.
“PRU kali ini adalah untuk beri peluang rakyat memilih. Sudah tentu lawan kita akan terus main sentimen agama dan perkauman.
“Kita tidak akan mengikut rentak mereka sebaliknya kemukakan tawaran dan penyelesaian masalah rakyat untuk seimbangkan tawaran PH kali ini,” katanya.
Tambah beliau, biar apapun ramalan dituju kepada PH, itu sama sekali tidak melunturkan semangat mereka untuk kembali menjadi kerajaan.
“Mereka kata PH tiada masa depan, berpecah belah, tidur satu bantal mimpi lain, masa depan kelam dan gelap, Insya-Allah, satu bulan daripada sekarang, berkat doa, kerja kuat dan satu hati kita akan dapat kembali memimpin Putrajaya,” katanya. – UTUSAN