Hariz mencari tapak kukuh - Utusan Malaysia

Hariz mencari tapak kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI penyanyi yang sedang mencari tapak kukuh dalam industri muzik, jejaka yang memiliki suara lantang ini turut berdepan pengalaman yang sukar dilupakan ketika melangkah ke studio rakaman. 

Namun, demi memburu kepuasan, Hariz Fayahet, 29, akur apabila terpaksa beberapa kali merakamkan semula lagu nyanyiannya untuk mendapatkan penghayatan terbaik. 

Bercerita pengalaman ketika merakamkan single Ku Cuba, Hariz berkata, agak sukar untuk dia menghayati lirik dan menyelami emosi yang dituntut lagu itu. 

“Ku Cuba mengisahkan tentang hubungan yang berdepan dugaan. Hanya satu pihak yang berterusan mencuba untuk mempertahankan hubungan mereka sehinggakan hati sendiri dibiarkan terluka. 

“Perasaan itu terpaksa dipendam, manakala satu pihak lagi seperti tidak mengendahkan segala usaha tersebut, sebaliknya hanya diam membisu dan pergi begitu saja. 

“Saya perlu bayangkan diri berada dalam kisah itu dan menggunakan pengalaman dan pengamatan untuk lebih menghayati lagu ini. Sebagai penyanyi, saya berusaha membuat perubahan dan melakukan segala yang terbaik. 

“Tidak dinafikan, agak susah untuk saya konsisten dalam menyampaikan emosi yang betul sepanjang rakaman. Jadi, kami perlu melakukan beberapa take untuk mendapat emosi yang tepat supaya semua, termasuk komposer dan penerbit berpuas hati,” katanya kepada Pancaindera. 

Ku Cuba adalah hasil ciptaan komposer Sharon Paul, manakala lirik nukilan Datuk A. Aida. Lagu itu juga merupakan runut bunyi untuk drama Sekali Lagi Cinta Kembali yang dilakonkan Siti Khadijah Halim dan Aniq Suhair. 

Segala usaha Hariz membuahkan hasil apabila lagu itu menduduki tempat teratas dalam carta lagu tempatan dan sedang trending di laman TikTok. 

Hariz yang juga naib johan program realiti, Lagu Cinta Kita 3, akhir tahun lalu, kini bernaung di bawah Alternate Records & Talents. 

“Banyak peluang besar yang saya dapat untuk mengembangkan dan menaikkan nama saya dalam industri muzik, contohnya penghasilan single ini. 

“Alhamdulillah, saya sangat teruja apabila lagu ini trending di TikTok. Peluang untuk menyanyikan OST drama ini sangat berharga dan membantu karier saya. 

“Walaupun sudah hampir lima tahun dalam industri, cabaran terbesar adalah untuk mengukuhkan nama dan memperkenalkan identiti diri dalam dunia seni suara. 

“Masih ramai yang belum kenal, namun saya akan terus berusaha untuk menempatkan diri sebaris dengan penyanyi hebat lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya