ALOR SETAR: Gerakan Tanah Air (GTA) menyasarkan untuk bertanding di 120 Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pengumuman berhubung semua calon gabungan tersebut akan dilakukan pada 2 November ini dalam satu majlis pengenalannya.
“Kita akan buat majlis pengenalan calon kesemuanya pada 2 November ini di pusat (ibu negara). Tetapi dari semasa ke semasa kita akan membuat pengumuman mungkin melibatkan beberapa calon baik di peringkat negeri mahupun pusat.
“Sasaran kami GTA akan bertanding di 120 kerusi tetapi angka itu akan dimuktamadkan kemudian kerana mungkin lebih atau mungkin kurang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rapat Umum GTA di sini, malam tadi.
Mukhriz yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, GTA turut bercadang bertanding di 10 Parlimen di negeri ini termasuk di Alor Setar.
“Ya GTA akan bertanding di Alor Setar. Calon (perlu) tunggu dan lihat satgi (nanti) kita akan umum bila tiba masanya. Di Kedah tidak kurang daripada 10 kerusi melibatkan GTA iaitu bukan sekadar Pejuang,” katanya.
GTA baru-baru ini mengumumkan lapan calon pertama gabungan tersebut termasuk Mukhriz di Parlimen Jerlun, Dr. Mahathir (Langkawi); Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa); Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu); Datin Che Asmah Ibrahim (Sepang); Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah); Harumaini Omar (Hulu Selangor) dan Mohd. Shaid Rosli (Kuala Selangor).
Gerakan politik itu ditunjangi Pejuang, Parti Putra Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman). – UTUSAN