CYBERJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) mengulangi pendirian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai dilaksanakan pada musim banjir.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau berpendapat, tarikh sesuai untuk dilaksanakan adalah tahun depan selepas berakhirnya musim banjir.
Beliau berkata, rakyat tidak sepatutnya diletakkan dalam keadaan berisiko untuk keluar mengundi.
“Tempoh pilihan raya sepatutnya bebas musim banjir dan angin kencang supaya semua orang dapat keluar mengundi dengan selamat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, tindakan UMNO untuk tetap mengadakan PRU15 pada tahun ini dilihat menguntungkan parti itu sahaja.
Dr. Mahathir berkata, beliau menjangkakan dua tarikh PRU15 yang bakal dipertimbangkan UMNO sama ada akhir Oktober atau akhir November ini.
Menurutnya, tarikh itu mungkin dipilih untuk menguntungkan UMNO sahaja dan apabila ramai yang tidak akan keluar mengundi, mereka akan dapat sokongan.
“Mereka tidak peduli jika ramai yang akan terjejas bila keluar buang undi pada musim banjir kerana mereka mahu menang pilihan raya sahaja,” katanya.
Ditanya sama ada GTA akan menghantar surat bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menangguh pembubaran Parlimen jika PRU15 tetap diadakan tahun ini, Dr. Mahathir berkata, pihaknya akan memutuskan perkara itu kemudian.
Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN