GPS guna logo sendiri bertanding 31 kerusi Parlimen PRU-15

GPS guna logo sendiri bertanding 31 kerusi Parlimen PRU-15 – Abang Johari

ABANG JOHARI (tengah) selepas mempengerusi mesyuarat GPS di Ibu Pejabat PBB lewat petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding menggunakan logonya sendiri dan tidak bergabung dengan mana-mana pakatan, kata Premier Sarawak selaku pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

GPS dianggota empat parti komponen, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan n Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abang Johari yang juga presiden PBB mengesahkan GPS akan bertanding di kesemua 31 kerusi parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang masih belum ditetapkan tarikhnya.

“Saya difahamkan hingga ke saat ini kita belum tahu tarikh penamaan calon and juga tarikh pembuangan undi kerana belum ada statement kenyataan dikeluarkan oleh SPR.

“Yang saya difahamkan SPR akan bermesyuarat pada 20 haribulan Oktober ini.

“Namun demikian GPS akan bertanding di semua 31 kerusi dan GPS telah bersetuju kita akan bertanding atas satu perjuangan, iaitu Sarawak First (Sarawak didahulukan),” katanya pada sidang ahbar selepas mempengerusikan mesyuarat GPS di sini semalam.

Tambah beliau, semua komponen GPS akan bertanding dan berkempen sebagai satu parti, iaitu GPS.

Abang Johari berkata GPS akan mengeluarkan manifesto sendiri dan ini adalah pertama kali dalam PRU gabungan parti-parti Sarawak itu akan bertanding secara sendiri (solo).

“GPS sudah bersedia untuk PRU kali ini. Kita telah menubuhkan jawatankuasa untuk kita menjalankan tugas kita dari semua sudut bagi membolehkan GPS dapat menjalankan amanah yang telah diberikan rakyat melalui PRN (pilihan raya negeri) lepas,” kata beliau.

Abang Johari menegaskan bahawa GPS juga memerlukan suara yang kuat di parlimen.

Tambahnya, semua kawasan yang akan ditandingi GPS sudah diputuskan dalam kalangan komponen gabungan itu dan akan meletakkan calon-calon seperti yang telah diputuskan.

“Bagaimanapun untuk beberapa kerusi kita masih melihat keadaan kerana kita belum tahu tarikh penamaan calon,” kata beliau.

Abang Johari turut mengesahkan akan ada beberapa muka baharu dalam senarai calon GPS untuk PRU akan datang, tetapi beliau tidak menyebut nama-nama penyandang kerusi yang akan memberi laluan kepada calon-calon baharu.

“Tunggulah hari penamaan calon,” katanya.

Ditanya mengenai pencalonan penyandang kerusi Puncak Borneo Datuk Willie Mongin yang telah diterima menyertai PBB dan penyandang kerusi Saratok Datuk Ali Biju, Premier Abang Johari menjawab: “Tadi saya kata kita akan bertanding di semua 31 kerusi, jadi tunggulah hari penamaan calon.”

Beliau berkata mandat daripada rakyat Sarawak nanti akan digunakan untuk meneruskan perjuangan untuk melibatkan Sarawak dalam menentukan dasar-dasar nasional serta mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Abang Johari, Sarawak masih ada lagi perkara penting yang belum dimuktamadkan dengan kerajaan persekutuan termasuk isu pembubaran Mahkamah Tinggi Borneo.

“Dulu kita Mahkamah Tinggi Borneo di Sabah dan Sarawak tetapi sekarang tidak ada lagi.

“Ini perkara yang penting dari sudut perundangan dan perlembagaan yang kita akan bincang di masa akan datang,” tegasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya