Gementar kawanan gajah lintas depan kereta

Gementar kawanan gajah lintas depan kereta

SEKAWAN gajah mendaki kawasan berbukit di Jalan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - FACEBOOK DANITA DAMIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Sepasang suami isteri bersama seorang anak gementar ketika menunggu kira-kira setengah jam bagi memberi laluan kepada sekawan gajah melintas jalan di Tasik Kenyir di sini, kelmarin.

Danita Harun, 43, berkata, kejadian pada pukul 1.40 petang itu ketika dia bersama suami dan anaknya dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke rumah mereka di Felda Aring, Gua Musang, Kelantan.

Katanya, perasaannya ketika itu bercampur-baur memandangkan kali pertama dalam hidupnya terserempak dengan kawanan gajah sepanjang melalui laluan berkenaan.

“Kereta yang saya sekeluarga naiki berada paling hampir iaitu kira-kira 20 meter dari lokasi gajah melintas jalan dan kemudian mendaki bukit. Macam-macam perasaan ada ketika itu antara takut, teruja serta tergamam.

“Sebelum ini saya pernah beberapa kali terserempak dengan gajah liar di laluan Tasik Kenyir-Aring ini namun hanya seekor atau dua ekor, tidaklah begitu banyak sehingga 14 ekor.

“Saya dan pengguna jalan raya lain menunggu hampir setengah jam bagi memberi laluan kepada kawanan gajah tersebut melintas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Danita yang juga merupakan seorang peniaga berkata, dia berkongsi video dan gambar dalam laman sosial sekadar untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya yang lain supaya lebih berhati-hati sewaktu melalui kawasan itu dan tidak sangka ia tular.

Terdahulu, tular gambar dan video berdurasi tiga saat sekumpulan gajah melintas dan mendaki kawasan berbukit di jalan Tasik Kenyir selepas dimuat naik Danita menerusi akaun Facebooknya, Danita Damia.

Pada 3 Oktober lalu, pengguna jalan raya di laluan Felda Neram I menghala ke Felda Neram II di Kemaman terkejut apabila terserempak dengan lebih 30 ekor gajah liar melintas jalan tersebut.

Khamis lalu pula, tular rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan sekumpulan gajah berada di atas bukit di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya