KUALA LUMPUR: Inisiatif mewujudkan Generasi Penamat (GEG) menerusi pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 mampu mengatasi lambakan jualan rokok seludup di pasaran.
Pakar Ekonomi Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kasihatan (MyWatch), Prof. Madya Dr. Norashidah Mohamed Nor berkata, kajian dilaksanakannya mendapati masalah penguatkuasaan menjadi faktor utama yang menyebabkan lambakan rokok tidak sah itu di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, kawalan akta berkenaan perlu difahami dengan jelas sama ada ia dapat meningkatkan peningkatan kemasukan rokok seludup atau sebaliknya.
“Apabila kita halang mereka yang tergolong dalam kategori generasi penamat daripada produk tembakau, jadi mereka tiada kebiasaan menghisapnya dan tidak ada ketagihan, kenapa perlu mereka cari rokok tak sah?
“Maka, generasi penamat yang memfokuskan kepada mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya sudah tentu tidak akan memilih rokok seludup, jadi isu perokok yang beralih kepada rokok tidak sah cuma berlaku dalam kalangan mereka yang ketagih pada rokok,” katanya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin sebelum ini membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bagi mengadakan peruntukan berkaitan pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.
RUU berkenaan turut mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya yang disebut sebagai Generasi Penamat.
Namun, timbul perdebatan bahawa pelaksanaan GEG boleh meningkatkan kemasukan rokok-rokok seludup.
Dr. Norashidah berkata, kerajaan perlu menaikkan cukai rokok dan produk tembakau lain dalam Bajet 2023, selepas kali terakhir dinaikkan ialah pada 2015 lalu.
Katanya, cukai rokok seharusnya dinaikkan setiap tahun dalam usaha membantu orang ramai berhenti mengambil produk tembakau melalui kenaikan harga.
“Satu isu diutarakan industri tembakau adalah apabila cukai naik, maka kerajaan masih rugi apabila berlaku lambakan rokok tidak sah, tetapi dari 2015 sehingga sekarang pun masih ada lagi rokok seludup.
“Kajian menunjukkan sekiranya kita boleh menaikkan cukai rokok sehingga 20 peratus menjadikan harga rokok kira-kira RM21, kerajaan boleh dapat berbilion ringgit hasil daripada rokok sebab kita tahu mereka yang ketagihan tegar masih membeli walaupun mahal.
“Di luar negara, kita dapat lihat kalau harga rokok itu mahal, maka lagi mudah perokok yang tidak tegar mahu berhenti sebab memikirkan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
“Kita tahu rokok itu memberi kesan buruk kepada kesihatan, tetapi dalam jangka masa panjang, apabila cukai rokok dinaikkan, maka serta merta boleh nampak kesan pada kos sara hidup. Jadi orang tahu harga itu akan terus naik dan memang prevalens rokok itu boleh jatuh banyak sebab mereka akan fikir kalau tak berhenti pun harga rokok akan terus naik,” katanya. – UTUSAN