KUALA LUMPUR: Gabungan dua kumpulan popular Indonesia, Sabyan dan Seventeen bakal menyajikan sesuatu yang istimewa buat peminat yang sudah lama menanti kemunculan mereka.
Bakal disatukan dalam Konsert Sabyan dan Seventeen di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 15 Oktober ini, kemunculan itu dianggap sedikit istimewa kerana kekuatan karya dan alunan muzik mereka yang mendamaikan, bersesuaian dengan pasca sambutan Maulidur Rasul.
Vokalis kumpulan Sabyan, Nissa berkata, peluang untuk kembali ke Kuala Lumpur bagi mengadakan konsert telah lama diimpikan mereka.
“Kami amat berbesar hati dan teruja kerana dapat kembali menyapa penggemar Sabyan di Malaysia selepas pandemik yang membuat seluruh dunia seperti ‘membeku’.
“Sabyan juga tidak sabar mendendangkan untaian kami, termasuk single terbaru, Tiara. Konsert ini juga bermakna kerana buat julung kali Sabyan digandingkan dengan Seventeen,” katanya.
Sementara itu, bagi vokalis Seventeen, Ifan, kesempatan kembali ke Kuala Lumpur setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki dan bergabung dengan Sabyan dalam sebuah konsert disifatkan sebagai kolaborasi yang menarik.
Malah, ini juga merupakan kunjungan pertama kumpulan yang kehilangan hampir semua anggotanya sewaktu bencana tsunami membadai sekitar pantai di Selat Sunda pada 2018 bersama anggota baharu.
“Kami di Seventeen amat berbesar hati dengan kolaborasi ini. Ketika dilamar menjayakan konsert ini, kami tiada sebab untuk menolak kerana ia antara peluang yang kami tunggu-tunggu.
“Seventeen akan memberikan persembahan terbaik, bersesuaian konsep yang dibawakan penganjur,” ujar Ifan.
Biarpun tidak memiliki karya berunsur kerohanian sepenuhnya, Ifan bagaimanapun, yakin lagu hit Seventeen seperti Kemarin cukup dekat dengan hati peminat.
Selain Kemarin, Seventeen juga terkenal dengan lagu Hal Terindah dan Menemukanmu.
Tiket konsert Sabyan & Seventeen mula dijual, semalam pada harga bermula RM98 sehingga RM799.
Layari laman sesawang www.myticket.asia atau hubungi talian 03 8605 0195 untuk maklumat lanjut.