PETALING JAYA: Sebanyak 87 peserta dari lima buah sekolah menengah menyertai Program ‘Fun@Laboratory’ anjuran Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan U-Science UMS, di Sabah, baru-baru ini.
UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, peserta tersebut terdiri daripada pelajar dan guru pengiring Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agam Kota Kinabalu, SMK Datuk Peter Mojuntin Penampang, SMK Bahang, SMK Bongawan dan Sekolah Menengah Sains Sabah.
“Program ini bertujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains,Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), terutama dalam bidang bioteknologi,” kata kenyataan itu.
Majlis tersebut disempurnakan Pengarah IPB, Prof. Dr. Lee Ping Chin dan dijayakan bersama seluruh warga IPB yang terdiri daripada pensyarah, kakitangan sokongan dan pentadbiran serta pelajar pascasiswazah.
Teknik mengenal pasti jantina dan cara mengendalikan tikus, sel tumbuhan dan di bawah mikroskop, kombucha fermentation dan aplikasi metagenomik dalam kehidupan seharian, adalah pengisian yang ada sepanjang program berlangsung.
Menurut kenyataan itu, program tersebut juga mendedahkan para pelajar dengan peralatan makmal yang moden dan canggih di makmal IPB.
Katanya, ia sebagai satu usaha pembudayaan kepakaran bioteknologi IPB kepada masyarakat di Sabah. – UTUSAN