KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan antara nama yang disebut-sebut sebagai calon Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kerusi Parlimen Batu Sapi yang dimenangi oleh Parti Warisan (Warisan) pada PRU14 masih lagi kosong sejak penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober 2020.
Sebelum ini, kerusi Parlimen Batu Sapi merupakan kubu kuat Parti Bersatu Sabah (PBS) sejak 2004 sehingga 2018.
Mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah yang mewakili PBS menang kerusi Parlimen Batu Sapi tanpa bertanding pada 2004 dan kekal sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi sehingga 2010. Beliau meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober 2010.
Legasinya disambung oleh isteri beliau, Datuk Linda Tsen Thau Lin yang menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi sejak 2010 hingga 2018.
Ketika ditanya mengenai persediaan sekiranya dipilih menjadi calon Batu Sapi, Firdaus berkata, beliau hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas pengumuman secara rasmi dibuat oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Sekiranya sudah ada hitam putih baru kita keluarkan komen,” katanya ketika ditemui.
Anak kepada veteran politik, Datuk Akbar Khan Abdulrahman itu dilihat sebagai calon muda yang akan diketengahkan oleh Bersatu pada pilihan raya kali ini.
Pada PRU15, Bersatu Sabah akan bertanding di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Firdaus berkata, pada musim PRU memang ramai yang mahu menjadi calon tidak kira parti kerajaan mahupun pembangkang.
“Saya mewakili parti Bersatu dan GRS yang pengerusinya ialah Ketua Menteri, setiap keputusan yang dibuat olehnya, kita akan terima dengan hati terbuka.
“Apa yang pasti setiap keputusan yang mahu dilakukan oleh beliau (Hajiji) sudah mengambil kira semua aspek, yang penting ia membawa kebaikan kepada negeri Sabah.
“Kita harus sedar juga kenapa negeri Sabah ini sentiasa tertinggal oleh sebab dari dulu pemimpin-pemimpin kita suka berpolitik,” katanya. –UTUSAN