KUALA LUMPUR : Bermula dengan mengeluarkan rangkaian penjagaan kulit sejak 10 tahun lalu, pemilik empayar syarikat Fellera Beauty Malaysia Sdn Bhd, Syarifah Khyra Muhsin, kini menghasilkan suplemen atau makanan tambahan jamu dalam bentuk jeli untuk kesihatan kaum wanita.
Menurut wanita berusia 30 tahun berasal dari Terengganu ini, percaturannya mengeluarkan jamu selamat diguna dalam bentuk jeli itu dianggap berhasil apabila kini ia menjadi pilihan kebanyakan wanita.
Malah jeli Bellrossa Advances itu turut menjadi pilihan ramai selebriti wanita tanah air yang menjadi di Malaysia sebagai pelengkap tenaga dan keperluan utama kaum hawa.
“Syukur jeli dikeluarkan menjadi suplemen wajib makan khusus untuk kaum wanita. Ia bukan 100 peratus jamu. Sebaliknya kandungan jamu hanya 30 peratus penggunaannya. Selebihnya berasaskan vitamin dan ekstrak buah.
“Malah saya juga menjadi antara pengeluar produk pertama yang mengeluarkan suplemen dalam bentuk jeli yang tidak pahit seperti kebanyakan produk jamu. Kami sasarkan 100,000 kotak jeli sebulan dan seterusnya 1 juta kotak dalam tempoh enam bulan.
“Produk ini dikeluarkan sejak 2019. Setahun sebelum itu, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah dilakukan. Namun produk ini meledak tahun ini termasuk selepas menjadi pilihan artis seperti Neelofa, Rozita Che Wan dan Syatilla Melvin dan Elfira Loy,” katanya usai majlis anjuran bertema Bollywood diadakan 29 Oktober lalu di sebuah lokasi di ibu kota.
Tambah Syarifah Khyra lagi, kepuasan dan keberkesanan produk jeli itu diluluskannya sendiri sebelum dijual.
“Saya akui mengeluarkan produk ini awalnya untuk kepuasan diri. Saya memang obses nak cantik dan jaga badan. Saya tak mahu tua sebelum usianya dan saya percaya, ramai wanita lain juga inginkan yang sama.
“Ia dihasilkan bukan semata-mata kerana wang. Tapi ia melalui proses kajian dan R&D untuk menyelesaikan masalah orang perempuan.
“Malah saya juga mengkaji suplemen dari Korea yang dimakan berasaskan jeli. Malah negara berkenaan juga ada mengeluarkan topeng muka berasaskan puding,”katanya.
Kata Syarifah Khyra lagi, suplemen berkenaan mempunyai pelbagai manfaat dan faedah khusus buat wanita pelbagai peringkat usia.
“Pendek kata, ia suplemen lengkap buat wanita. Malah saya dapat tahu ramai artis yang sanggup membelinya sebagai kegunaan harian. Saya juga menggunakan khidmat artis tanpa terlalu memaksa atau menggunakan nama mereka. Sebaliknya, biar mereka mencuba dahulu dan merasai keajaibannya,” katanya.
Dalam pada itu, Syarifah Khyra berkata hingga kini jenama naungannya itu mempunyai lebih 3200 pengedar.
“Selain mengajak ramai menjadi pengedar dan berniaga, saya juga menganjurkan kelas mengajar teknik pemasaran mempraktikkan amalan Nabi Muhammad SAW.
“Ia termasuklah berkonsepkan pemasaran kerohanian dengan mengimbangi duniawi serta syurgawi. Selain berniaga, saya galakkan pengedar memperbetulkan diri ke arah kebaikan supaya rezeki lebih murah.
“Begitu juga saya terapkan doa berniaga dan amalan harian amalan bagaimana. Insya-Allah saya mahu terus sebarkan manfaat jeli dan jus ke seluruh dunia,” katanya.