KANGAR: Kerajaan negeri akan turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada bila-bila masa.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, bagaimanapun, perkara itu bergantung atas perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Katanya, pembubaran Parlimen dibuat berdasarkan pertimbangan khusus melibatkan kemajuan negara yang mendesak dan bukannya disebabkan kepentingan pihak tertentu semata-mata.
“Ini disebabkan telah wujud suasana ketidaktentuan dalam negara walaupun kita lihat ada pertumbuhan ekonomi, namun terdapat sektor-sektor yang tidak begitu memberangsangkan. Malah, kita lihat buat masa ini pelabur luar hanya mengambil pendekatan untuk tunggu dahulu dan mereka melihat kepada kestabilan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) 2022 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Dato Sheikh di sini hari ini.
Baru-baru ini, tiga negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan mengambil pendirian untuk tidak akan membubarkan DUN masing-masing sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Majlis Presiden menerima pendirian Menteri-Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa DUN bagi negeri-negeri tersebut akan dibubarkan pada 2023.
Selain negeri di bawah PH, negeri-negeri di bawah pemerintahan kerajaan Pas juga mengambil pendekatan membubarkan DUN tahun depan.
Dalam pada itu, Azlan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, parti itu di peringkat negeri sedang dalam proses terakhir bagi melengkapkan senarai calon yang akan bertanding pada PRU15 sebelum diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi pada Isnin ini.
“Calon-calon yang ditetapkan itu haruslah memenuhi syarat ‘WALI’ ditetapkan iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azlan berkata, sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Khamis depan bakal membentangkan mengenai pindaan berkaitan Undang-Undang Tubuh Negeri berhubung pewartaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Katanya, sidang khas berkenaan juga tidak akan melibatkan pembentangan Bajet 2023 buat negeri ini dan hanya menumpukan kepada pindaan enakmen tersebut.
“Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan telah dibuat sebelum ini berhubung RUU tersebut dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diwartakan. Mengikut tertibnya, kita juga harus lakukan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri supaya ia dapat diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN