PETALING JAYA: Tujuan tawaran Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah berbeza dengan cadangan tiga jawatan berkenaan daripada Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, ini kerana tawaran tersebut adalah bagi mempercepat kemajuan Sabah dan Sarawak kerana lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan dengan adanya jawatan itu.
Katanya, jawatan itu bersesuaian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi taraf sama rata kepada Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Kedudukan Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan Wilayah Kalimantan bakal dimajukan secara besar-besaran oleh negara jiran kerana ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara dipindahkan ke sana.
“Sehubungan itu, seharusnya Sabah dan Sarawak mempunyai infrastruktur berkelas dunia dan boleh menerima limpahan kemakmuran yang bakal dibawa oleh negara kuasa ekonomi ke lima besar di dunia sebelum tahun 2030 berkenaan.
“Dua jawatan TPM bukanlah tawaran semberono kepada parti politik di Malaysia Timur untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, tetapi polisi bagi memakmurkan rakyat Sabah dan Sarawak memperoleh kemajuan yang setara dengan penduduk di Semananjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Jelajah PH Sabah mengumumkan dua jawatan TPM membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula mencadangkan jawatan tiga TPM akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan dengan jaminan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung dilantik. – UTUSAN