JERANTUT: Pasangan suami isteri, Yussery Ismail, 52, dan Rozita Hamzah, 49, di Felda Kota Gelanggi Dua di sini memohon bantuan orang ramai untuk meringankan beban menjaga anak mereka, Muhammad Yusshah Danish Yussery, 19, yang koma sejak dua tahun lalu akibat kemalangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rozita berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu terlibat kemalangan jalan raya pada 1 Jun 2020 melibatkan pelanggaran dua motosikal di laluan Felda Kota Gelanggi Dua ke Felda Tekam Utara.
“Dia cedera parah di bahagian dalam kepala, patah tulang leher, pergelangan bahu, tangan dan jari menyebabkan koma dan mendapat rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.
“Selama 22 hari rawatan di hospital, dia koma sehingga kini akibat kecederaan teruk di bahagian dalam kepala dan saya sekeluarga amat sedih mengenang nasibnya,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini semalam.
Menurut Rozita, peringkat awal, doktor cuma merawat bahagian bahu, leher, tangan dan jari yang patah sehinggalah kecederaan itu sedikit pulih, tetapi kecederaan teruk di bahagian otak menyebabkan dia tidak boleh bergerak langsung serta terlantar sehingga kini.
“Kami masih membawa Muhammad Yusshah Danish ke hospital setiap dua bulan untuk rawatan susulan, tetapi keadaannya masih tidak berubah sejak seperti dua tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami bergilir-gilir menjaga Muhammad Yusshah Danish kerana terpaksa menumpukan perniagaan dandanan dan solekan termasuk menyediakan sewaan peralatan majlis perkahwinan di sekitar kawasan Felda Kota Gelanggi dan Wilayah Jengka sebagai sumber pendapatan keluarga.
Katanya, perniagaan itu baharu sahaja pulih selepas pandemik Covid-19, tetapi masih kekurangan pelanggan selain terpaksa bersaing dengan pengusaha lain di kawasan tersebut.
“Selepas kejadian ini, kami sudah berbelanja hampir RM25,000 untuk rawatan anak ini termasuk simpanan modal perniagaan hanya semata-mata untuk membeli susu khas, lampin pakaian buang dan menyewa ambulans swasta ke Hoshas sejauh 75 kilometer untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.
Rozita menambah, anaknya kini minum susu khas iaitu jenis Optimum dan Myotein seberat 800 gram setiap satu yang cuma mencukupi untuk tempoh dua hari sahaja dan terpaksa berbelanja sebanyak 15 tin setiap jenis berkenaan sebulan dengan harga yang mahal.
“Susu ini diberi menerusi saluran tiub yang dipasang pada perut sejak dua tahun lalu dan tidak boleh diberi makanan lain memandangkan keadaannya masih koma.
“Saya terpaksa berbelanja untuk kebajikan Muhammad Yusshah Danish sejak dua tahun lalu setiap bulan RM2,000 untuk pembelian susu khas, lampin pakai buang, ubat dan sebagainya,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Muhammad Yusshah Danish boleh menghubungi Yussery di talian 0145321433 atau Rozita (0189103179) dan menyumbang terus ke akaun Bank Rakyat nombor 220304322791 (Muhammad Yusshah Danish). – UTUSAN