KUALA NERUS: Impian dua beradik dari Padang Serai, Kedah untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tercapai apabila mereka ditawarkan kursus dalam bidang yang diminati.
Nur Arifah Mohd. Hanafiah, 21, dan adiknya, Fakhri Adam, 19, bersyukur kerana bergelar mahasiswa UMT secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga untuk menampung kos perjalanan berbanding jika mendapat universiti di tempat yang berbeza.
“Paling penting mak ayah tidak risau keselamatan dan kebajikan kami di sini kerana ada adik beradik kandung yang dapat menjaga antara satu sama lain.
“Insya-Allah kami tekad mahu meneruskan kecemerlangan memandangkan UMT adalah antara universiti terbaik di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Mereka berdua adalah antara 2,157 pelajar baharu bagi program Sarjana Muda Sesi 2022/2023 yang mendaftar di UMT.
Nur Arifah adalah pelajar cemerlang Diploma Teknologi Maklumat di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) dan merupakan penerima Anugerah Dekan bagi enam semester berturut-turut dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.80.
Fakhri Adam pula alumni program Asasi Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di UMT bagi sesi 2021/2021.
Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, sebanyak 84.75 peratus pelajar datang mendaftar untuk sesi kali ini berbanding 2,545 tawaran yang dikeluarkan.
“Proses kemasukan secara bersemuka pada hari ini berjalan lancar dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengelak sebarang jangkitan COVID-19,” katanya. – UTUSAN