MARRAKESH: Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa dalam aspek perlindungan keselamatan sosial di Persidangan Agung Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) sempena Forum Keselamatan Sosial Dunia (World Social Security Forum, WSSF) 2022 yang berlangsung di Maghribi pada 23 hingga 28 Oktober 2022 lalu.
Sejarah terpahat apabila Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed telah dipilih sebagai Presiden ISSA yang ke-17 pada persidangan ini, yang diadakan bersempena WSSF 2022, yang dihadiri oleh 321 ahli ISSA daripada 161 buah negara yang menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal keselamatan sosial itu.
Dr. Mohammed Azman akan menerajui ISSA bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2023 sehingga 2025.
Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan tertinggi tersebut dalam badan antarabangsa yang menerajui bidang keselamatan sosial di peringkat global.
“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli badan antarabangsa ISSA kepada saya untuk jawatan Presiden yang ke-17. Bagi saya, pemilihan ini adalah kejayaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, dan semua warga PERKESO kerana ia melonjakkan lagi kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa,” kata Dr. Mohammed Azman mengenai pemilihan tersebut.
Katanya, menerusi ISSA, beliau akan terus memberikan komitmen terbaik untuk meningkatkan sistem perlindungan keselamatan sosial agar setiap ahli ISSA melaksanakan perlindungan yang komprehensif dan inklusif di negara masing-masing demi kesejahteraan sejagat.
ISSA, yang telah ditubuhkan pada 1927 dan berpusat di Geneva, Switzerland merupakan pertubuhan antarabangsa dalam bidang keselamatan sosial yang bernaung di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
ISSA berperanan sebagai platform global bagi membincangkan dasar, strategi serta inovasi dalam bidang keselamatan sosial. Penganjuran persidangan kemuncak WSSF yang diadakan pada setiap tiga tahun adalah antara inisiatif ISSA, yang mengumpulkan para menteri, pegawai kanan, pengamal dan pakar dalam bidang keselamatan sosial dari negara-negara ahli untuk membahaskan isu semasa serta berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik mengenai keselamatan sosial.
Sebelum pemilihan ini, Dr. Mohammed Azman pernah menerima pengiktirafan antarabangsa iaitu Frances Perkins Award 2020 yang dianugerahkan oleh International Association of Industrial Accident Boards and Commissions (IAIABC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang mana beliau merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah organisasi tersebut dan orang Asia pertama menerima anugerah tersebut. – UTUSAN