MELAKA: Mengakui kecewa seolah-olah jawatannya selaku Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dihormati, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen hari ini nekad keluar daripada parti dan melepaskan semua jawatan disandangnya.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, keputusan tersebut diambil kerana sedih dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi yang tidak mencalonkannya bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, katanya, beliau ditawarkan bertanding di kerusi lain termasuk di Parlimen Bagan Datuk yang ditandingi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, meskipun sebelum ini janji untuk meletakkan dirinya di Tangga Batu sudah dimeterai.
“Saya dihubungi Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu beberapa hari lepas memaklumkan nama saya tidak dicalonkan bertanding di Tangga Batu.
“Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti saya di Tangga Batu selama lebih enam tahun tidak diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya.
“Yang jelas, struktur parti dalam Bersatu tidak lagi dihormati, sepatutnya pemegang jawatan dalam parti seperti Naib Presiden dipertimbangkan sebagai calon di kawasan yang dipimpinnya.
“Saya juga mengumumkan pemberhentian saya sebagai ahli Bersatu seumur hidup juga berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Pantai Puteri di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Rafiq berkata, keputusan drastik itu diambil selepas memikirkannya secara mendalam dan turut melibatkan perbincangan dengan ahli-ahli parti di bahagian berkenaan.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan sebagai Naib Presiden Bersatu, Pengerusi PN Parlimen Tangga Batu, Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu dan Ketua Bersatu Cawangan Cheng telah dihantar kepada Muhyiddin beberapa hari lalu.
Tambahnya, bagaimanapun beliau menafikan dakwaan akan bertanding pada PRU15 sebagai calon Bebas.
“Buat masa ini saya tidak berminat untuk menjadi calon walaupun ditawarkan oleh mana-mana parti untuk bertanding di PRU15.
“Saya akan bergerak melalui badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus membantu rakyat di Tangga Batu,” jelasnya. – UTUSAN