JAKARTA: Pelakon, Rizky Billar membuat laporan polis terhadap pelakon, Satria Mulia yang didakwa telah menyebarkan fitnah dan cerita palsu yang disifatkannya sebagai keterlaluan serta mencemar nama baiknya.
Perkara tersebut dimaklumkan peguam Rizky, Indra Tarigan dan Isa Zega menerusi laman YouTube Sambel Lalap, semalam.
“Kedatangan kami ke Balai Polis Jakarta Selatan adalah untuk mendapatkan khidmat nasihat pihak berkuasa berhubung berita palsu yang disebarkan Satria Mulia.
“Ramai sudah maklum cerita yang digembar-gemburkan itu tidak benar,” kata Indra seperti dipetik portal Liputan6.
Terdahulu, Satria mencetuskan kemarahan Rizky selepas menuduh pelakon tersebut pernah menjadi lelaki simpanan tiga individu yang terdiri daripada seorang mak nyah, lelaki dan wanita.
Indra juga memaklumkan, Satria sehingga ke hari ini, masih berdiam diri dan tidak menghubungi dia atau Rizky untuk menyelesaikan hal tersebut.
“Dia sebaliknya, seolah-olah cuba melawan kami semula. Rizky, menerusi panggilan telefon meminta saya menguruskan hal tersebut kerana dia mahu menenangkan diri selepas berdepan pelbagai masalah,” katanya lagi.
Sebelum ini, Rizky berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa mengasari isterinya, Lesti Kejora di kediaman mereka dekat Cilandak, Jakarta Selatan.
Pergaduhan pasangan suami isteri itu tercetus selepas Lesti mendakwa suaminya berlaku curang dengan wanita lain.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Sekali Seumur Hidup itu bertindak memaafkan Rizky dan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap suaminya itu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Ogos tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Leslar Al- Fatih Billar.