PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sedikit penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 3,189 kes berbanding kelmarin, 3,296 kes sekali gus mengatasi 2,541 kes sembuh.
Kes positif baharu ini adalah hasil ujian saringan sebanyak 34,818 ujian dan menjadikan jumlah terkumpul kes di negara ini, sebanyak 4,896,922 kes.
Berdasarkan laman web, https://data.moh.gov.my, hari ini, Selangor menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 1,190 kes diikuti Kuala Lumpur (767), Perak (306), Sabah (181) dan Pulau Pinang (156).
Bagi negeri catat bawah 100 kes pula iaitu Melaka (88), Putrajaya (82), Kelantan (61), Kedah (59), Sarawak (55), Pahang (51), Johor (46) dan Terengganu (14) selain dua lokasi mencatatkan kes satu angka iaitu Labuan, enam kes dan Perlis, empat kes.
Pesakit Covid-19 yang diwadkan seramai 475 orang, Kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 60 kes serta pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 34 kes.
Dalam perkembangan melibatkan kematian Covid-19, Malaysia mencatatkan hanya satu kes bersamaan jumlah kelmarin, sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 36,464 kes manakala tiada kes kematian yang dibawa ke hospital (BID). – UTUSAN